Sophia warisi kecantikan ibu, amal petua minum air kosong

Sophia warisi kecantikan ibu, amal petua minum air kosong



am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Kecantikan pelakon Sophia Albarakbah yang mewarisi ibunya Marina Wong juga Ratu Cantik pada era 80-an, diakui ramai melalui hantaran di akaun TikTok miliknya.

Sophia atau nama sebenarnya Sharifah Sophia Syed Abdul Rahman berkata dia tidak menyangka hantaran yang memaparkan gambar ibunya itu mendapat perhatian ramai.

“Saya saja-saja membuat hantaran gambar ibu dan tidak sangka ramai mengatakan wajah saya seiras dengannya. Saya juga terharu dengan pujian yang diberikan ramai.

“Sebelum ini saya bukan jenis yang memaparkan wajah ibu saya di platform media. Namun, bagi yang mengenali dirinya, ramai yang mengatakan saya lebih mirip ibu berbanding adik-beradik yang lain,” katanya kepada Harian Metro semalam.

Pelakon kacukan Melayu, Arab dan Cina ini berkata kecantikan ibunya yang juga memenangi tempat ketiga dalam Miss Malaysia 1980 memang tidak dapat dinafikan malah ibunya juga ada menyuruh dia untuk mengikuti jejak langkahnya menjadi ratu cantik.

“Ibu memang cantik tetapi saya tidak mewarisi senyumannya yang manis dan giginya yang cantik. Dia ada menyuruh salah satu antara adik-beradik kami untuk menyertai acara ratu cantik tetapi tidak ada yang berminat.

“Saya juga tidak menyangka rezeki saya untuk menjadi pelakon dan sedikit sebanyak kerja saya ada yang berkaitan dengan menjadi model bila terbabit dalam industri ini,” katanya.

Menurut pelakon siri drama Tonton, Marina, ibunya yang juga seorang mualaf, sememangnya mempunyai petua kecantikan yang diamalkannya dan akan memarahi mereka jika memandang remeh perkara berkenaan.

“Ibu saya suka minum air kosong dalam kuantiti yang banyak. Dari segi penjagaan muka pula, dia kerap mencuci muka dan tidak memakai produk yang banyak. Hanya pakai pelembap sahaja.

“Dia juga mengamalkan minuman herba seperti minuman kunyit dan rebusan herba Cina. Dia selalu paksa kami minum rebusan herba Cina kerana banyak faedahnya dari segi kecantikan dan kesihatan walaupun kami adik-beradik tidak menggemarinya.

“Ibu akan marah kalau kami tidak menghabiskan minuman herba yang dibuatnya,” katanya.

Tambah Sophia, ibunya juga menasihati dia untuk mendapat kualiti tidur mencukupi untuk kekal cantik dan awet muda.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR