am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span), semalam, menyerbu sebuah kilang pengeluar roti di Taman Industri Alam Jaya, Bandar Puncak Alam di sini, selepas dikesan melakukan pelepasan minyak dan gris (O&G) ke dalam sistem pembetungan awam.
Serbuan itu dilakukan secara mengejut selepas pihak terbabit menerima aduan daripada Indah Water Konsortium (IWK) berhubung sistem yang diselenggara, tersumbat.
Pengarah Unit Komunikasi dan Hal Ehwal Pengguna Span, Mohd Fazil Ismail berkata, hasil pemeriksaan mendapati pelepasan O&G daripada premis terbabit menyebabkan pelbagai masalah termasuk gangguan operasi di loji IWK.
“Apa yang kami kesan tidak sepatutnya berlaku sehinggakan ada (sisa O&G) sampai ke lurang (manhole) dan ini kerap kali dijumpai di kawasan perindustrian,” katanya pada sidang media di sini, semalam.
Mengulas lanjut, Mohd Fazil berkata, sampel air yang diperoleh dari lurang kilang pengeluar roti itu kemudian diambil dan dihantar ke Jabatan Kimia untuk analisis.
Sehubungan itu, beliau berkata, notis dikeluarkan mengikut Seksyen 61(1)(b) Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) dan Peraturan 4(6) Peraturan-Peraturan Industri Perkhidmatan Air (Efluen Terlarang) 2021.
Dalam perkembangan sama, Mohd Fazil memaklumkan Span turut melakukan pemeriksaan lurang di sebuah kilang simen yang tidak jauh dari kilang roti itu.
“Kami mengesyaki ada banyak pasir dalam saluran pembetungan yang berpunca daripada external (luaran) atau saluran itu sendiri.
“Oleh itu, Span akan menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd