Speedy Tigers akan berdepan China dalam aksi penentuan tempat ketiga Piala Asia 2025 Foto: Hockey India
SKUAD hoki lelaki negara kini menumpukan sepenuh perhatian kepada aksi penentuan tempat ketiga Piala Asia 2025 menentang China di Stadium Hoki Universiti Sukan Bihar, Rajgir, selepas impian mara ke final disekat Korea Selatan.
Bagaimanapun, cabaran Speedy Tigers semakin getir apabila pengendali, Sarjit Singh, mengesahkan dua tonggak utama Shello Silverius dan Syed Mohamad Syafiq kini berdepan kecederaan menjelang pertemuan penutup kempen itu.
“Sekarang fokus kepada pemulihan dan kecergasan pemain kerana kita sudah harungi tiga aksi sengit berturut-turut.
“Saya harap Shello dan Syafiq dapat sembuh segera untuk kembali bersama pasukan menentang China,” katanya selepas perlawanan.
Pada aksi terakhir peringkat Super Four, anak buah Sarjit terpaksa akur tewas 3-4 dalam perlawanan dramatik yang menyaksikan Malaysia bermula garang sebelum tunduk kepada kebangkitan lawan yang dijinakkan 1-4 dalam aksi peringkat kumpulan sebelum ini.
Malaysia terlebih dahulu membuka jaringan menerusi gol padang Mohd Fitri Saari pada minit kesembilan, namun Korea Selatan menyamakan kedudukan melalui pukulan sudut penalti Kim Hyeonhong (m-24).
Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi kembali meletakkan Malaysia di depan pada minit ke-29 sebelum Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan menggandakan kelebihan 3-1 hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-31.
Namun, keghairahan itu tidak bertahan lama apabila Korea Selatan bangkit dengan tiga jaringan pantas menerusi Oh Seyong (m-44), Lee Jungjun (m-50) dan Kim Hyeonhong (m-51) untuk menutup kemenangan 4-3.
Skuad negara tampil lebih garang penghujung perlawanan bagaimanapun gagal memanfaatkan tiga pukulan sudut penalti dalam empat minit terakhir untuk sekurang-kurangnya menyamakan kedudukan.
Sarjit mengakui pasukannya beraksi baik sepanjang perlawanan, namun dua kesilapan besar menjadi punca utama kegagalan mara ke pentas final.
“Kita mendahului 3-1, tetapi selepas Korea Selatan kurangkan jurang kepada 3-2, pemain bermain dalam keadaan tertekan,” katanya.