Speedy Tigers cemas sebelum tewaskan China

Speedy Tigers cemas sebelum tewaskan China


PETALING JAYA: Skuad hoki negara beraksi dengan penuh debaran sebelum berjaya menewaskan China 5-4 sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir kelayakan Piala Dunia 2026 di Ismailia, Mesir hari ini.

Malaysia menamatkan kempen Kumpulan B dengan enam mata di tangga kedua di belakang Pakistan, berdepan tugas getir apabila dijadual bertemu juara Kumpulan A, England bagi aksi separuh akhir, Jumaat ini.

PEMAIN hoki negara meraikan kemenangan mereka menewaskan China 5-4 dalam aksi terakhir Kumpulan B kelayakan Piala Dunia 2026 di Mesir, hari ini. – FIH

Terdahulu, skuad kendalian Sarjit Singh itu terlebih dahulu berada di depan seawal minit kelima menerusi pukulan sudut penalti Mohd Fitri Saari namun Wang Yaqi menyamakan kedudukan seminit kemudian.

China mendahului perlawanan hasil jaringan Zhao Yulai sebelum Nik Muhammad Aiman Nik Rozemi, Faiz Helmi Jali dan Fitri menjaringkan gol untuk menjadikan kedudukan 4-2.

Penyerang berbisa negara, Faizal Saari meledak gol kelima pasukan pada minit ke-47 namun China enggan mengalah malah cuba bangkit menerusi jaringan Zhao Yulai dan Chen Benhai pada lewat permainan.

Namun, disiplin tinggi serta ketenangan barisan pertahanan negara memastikan kedudukan 5-4 kekal sehingga wisel penamat.

Malaysia kini hanya selangkah lagi untuk merealisasikan impian beraksi di pentas dunia namun perlu mengetepikan cabaran pasukan keempat terbaik dunia, England sebelum boleh layak ke pentas akhir kejohanan, Sabtu ini. – UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top