Pemain negara, Anuar Akhimullah (kiri) bersaing dengan pemain Belgium pada saingan Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Azlan Shah pada Khamis. Foto: Bernama
PASUKAN ranking ketiga dunia Belgium membelasah Malaysia 9-1 pada perlawanan keempat Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah di Stadium Hoki Sultan Azlan Shah ke-13 di Ipoh di sini pada Khamis.
Speedy Tigers kendalian Sarjit Singh selepas tewas 3-4 kepada India semalam, turun dengan misi berjuang habisan-habisan namun terpaksa akur dengan kehebatan Belgium.
Penyerang prolifik Belgium yang juga pemain terbaik dunia tahun ini Tom Boon membuka tirai jaringan pasukan itu hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-8 sebelum Thomas Crols meledak gol kedua tiga minit kemudian.
Tersentak dengan jaringan itu, pasukan negara mengatur serangan balas dan berjaya merapatkan kedudukan pada minit ke-13 menerusi gol padang Faizal Saari.
Namun dua minit kemudian Thibeau Stockbroekx pula memastikan Belgium terus di depan sebelum tamat suku pertama perlawanan.
Babak kedua menyaksikan Belgium terus menekan kubu pertahanan Malaysia dan berjaya merobek gawang negara apabila Roman Duvekot menjaringkan gol keempat pada minit ke-24.
Alexander Hendrickx dan Tommy Willem kemudian menambah derita Speedy Tigers menerusi pukulan penalti dan pukulan sudut penalti pada minit ke-27 dan 30.
Tom Boon sekali lagi mencatat nama selaku penjaring pada minit ke-38 apabila pasukan itu sekali lagi dihadiahkan pukulan penalti dan Victor Foubert terus menghukum kem pertahanan negara apabila meledak gol kelapan pada minit ke-41.
Asakan Belgium tidak berhenti di situ apabila Roman Duvekot melengkapkan hari malang skuad negara menerusi gol kesembilan pada minit ke-54.
Kanada sebelum itu mengalahkan Korea Selatan 3-2 manakala India pula menundukkan New Zealand juga dengan keputusan 3-2.
Speedy Tigers akan berdepan Korea Selatan manakala New Zealand bertemu Belgium dan Kanada menentang India pada Sabtu ini.
Sementara itu, Sarjit menyifatkan kekalahan itu sebagai satu pengajaran besar buat pemain, sambil menegaskan pertembungan itu menjadi ukuran tepat tahap semasa skuad Speedy Tigers, sekali gus membuka ruang untuk memperbaiki kelemahan sedia ada.
“Belgium memang bermain dengan sangat baik selepas aksi menentang Korea Selatan tempoh hari, mereka mula menunjukkan kenapa mereka berada di ranking ketiga dunia,” katanya, sambil menambah aspek disiplin bertahan pasukan lawan juga menjadi contoh terbaik kepada pemain negara. – Bernama
Ringkasan AI
- PASUKAN Belgium ranking ketiga dunia mengalahkan Malaysia 9-1 di Kejohanan Hoki Piala Sultan Azlan Shah
- Tom Boon dari Belgium membuka skor dengan pukulan sudut penalti pada minit kelapan
- Faizal Saari menjaringkan gol untuk Malaysia pada minit ke-13
- Belgium terus menambah jaringan melalui pukulan penalti dan sudut penalti
- Sarjit menganggap kekalahan sebagai pengajaran dan menilai tahap semasa skuad Speedy Tigers





