Speedy Tigers kempunan ke separuh akhir Piala Negara-Negara

Speedy Tigers kempunan ke separuh akhir Piala Negara-Negara


Aksi perlawanan terakhir kumpulan B di antara pasukan Malaysia menentang Jepun dalam saingan Piala Negara-Negara 2025 di Stadium Nasional Hoki, Bukit Jalil pada Rabu. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID

MALAYSIA terpaksa menelan kepahitan apabila terlepas peluang untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Hoki Piala Negara-Negara 2025 dalam aksi mendebarkan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.

Meskipun menang 2-1 ke atas Jepun dalam aksi terakhir Kumpulan B sebentar tadi, keputusan itu masih belum memadai buat skuad Speedy Tigers yang wajib mencatat kemenangan dengan kelebihan dua jaringan untuk mara.

Skuad negara yang dalam misi memburu kemenangan bermula garang apabila membuka tirai jaringan menerusi Norsyafiq Sumantri pada minit kelima hasil hantaran daripada Fitri Saari.

Penyerang lincah, Azrai Aizad Abu Kamal menggandakan jaringan buat Malaysia apabila menyempurnakan hantaran Shello Silverius pada minit ke-26.

Jepun yang berada di kedudukan ke-16 dunia cuba bangkit memperkemaskan corak serangan pada suku ketiga, namun benteng negara yang diketuai Marhan Mohd Jali kekal ampuh bertahan.

Memasuki suku terakhir, kedua-dua pasukan saling berbalas serangan, namun Jepun berjaya mencuri satu jaringan menerusi Koji Yamasaki pada minit ke-55.

Menerusi keputusan itu, Malaysia yang dibimbing Sarjit Singh menamatkan saingan di tangga ketiga Kumpulan B dengan empat mata, berkongsi mata bersama Pakistan, namun kelebihan jaringan menyebelahi Pakistan untuk mara ke separuh akhir.

New Zealand pula muncul pendahulu kumpulan setelah melakar rekod bersih tiga kemenangan untuk mengumpul sembilan mata, manakala Jepun tercorot tanpa sebarang mata.

Kegagalan mara ke separuh akhir menyaksikan Malaysia akan bersaing dalam kelompok klasifikasi tempat ke-5 hingga ke-8 dan dijadualkan menentang Afrika Selatan pada Jumaat.

Terdahulu dalam aksi sebelah petang, New Zealand bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Pakistan 4-3.

Untuk rekod, Malaysia sebelum ini menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi 2022 dan ketujuh pada musim 2023/24.

Juara kejohanan ini akan layak beraksi dalam Liga Profesional 2025/26 yang sebelum ini dikenali sebagai Liga Hoki Dunia.



Source link

OR

Scroll to Top