‘Speedy Tigers’ menunjukkan permulaan yang sedikit goyah sebelum menewaskan Afrika Selatan. – Foto: MOHD HALIM ABDUL WAHID
SKUAD hoki lelaki negara menghidupkan peluang untuk mengakhiri kempen Piala Negara-Negara FIH 2025 dalam kelompok lima terbaik selepas meraih kemenangan meyakinkan 4-2 ke atas Afrika Selatan pada Jumaat.
Perlawanan berintensiti tinggi di Stadium Hoki Nasional Bukit Jalil itu bermula dengan ‘The Speedy Tigers’ kendalian Sarjit Singh diberikan tekanan oleh ‘Ama Stokke Stokke’ bimbingan Devon van der Merwe.
Bagaimanapun, anak buah Sarjit terlebih dahulu di hadapan hasil jaringan Syed Syafiq Syed Cholan pada minit ke-15.
Angelo Walstroom kemudian menyamakan kedudukan pada minit ke-30, menjadikan kedudukan 1-1 ketika kedua-dua pasukan menuju ke bilik persalinan pada separuh masa pertama.
Memasuki separuh masa kedua, ‘Speedy Tigers’ meningkatkan tekanan apabila Muhajir Abdul Rauf kembali meletakkan pasukan negara di hadapan pada minit ke-37.
Afrika Selatan yang tidak mengalah kemudian menyamakan kedudukan melalui Carlon Mentoor pada minit ke-51.
Namun, ‘Speedy Tigers’ bangkit dengan dua gol tambahan yang dijana oleh Akramullah Anuar pada minit ke-40 diikuti penyudah cemerlang Saari Fitri pada minit ke-53.
Gol terakhir itu menutup terus kebangkitan ‘Ama Stokke Stokke’ yang menyaksikan ‘Speedy Tigers’ kini akan berdepan Wales Sabtu, yang sebelum itu menewaskan Jepun 6-4 di venue yang sama.
Sementara itu, Sarjit mengakui ‘Speedy Tigers’ menunjukkan permulaan yang sedikit goyah sebelum menewaskan Afrika Selatan.
Namun, beliau tetap optimis dengan prospek pemain-pemain menjelang pertembungan menentang Wales esok.
“Saya rasa persembahan pada awalnya sedikit goyah. Begitulah lumrah permainan. Saya berpendapat perlawanan ini tidak menimbulkan banyak masalah, tetapi perkara terbaik adalah kebangkitan pasukan,” jelas Sarjit.
Mengulas mengenai perlawanan seterusnya menentang Wales, Sarjit menyifatkan lawan mereka itu sebagai pasukan yang semakin meningkat.
“Saya fikir Wales semakin baik. Mereka ada tiga atau empat pemain dari Great Britain. Saya rasa mereka mempunyai beberapa pemain yang bagus, tetapi kami perlu mendapatkan tempat kelima kerana ia sangat penting,” tambah Sarjit.