SKUAD hoki lelaki negara memilih jalan sukar untuk mara ke separuh akhir apabila tewas 3-4 di tangan New Zealand dalam aksi kedua Kumpulan B Piala Negara-Negara di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi.
Keputusan itu menyaksikan Malaysia wajib membelasah Jepun, sambil mengharapkan New Zealand menumpaskan Pakistan pada aksi terakhir kumpulan pada Rabu.
Dalam perlawanan tersebut, skuad Speedy Tigers terlebih dahulu berada di depan menerusi jaringan padang oleh Akhimullah Anuar pada minit ke-18.
Antara aksi perlawanan di antara pasukan Malaysia menentang New Zealand. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Menuju penghujung babak kedua, gawang pasukan negara berdepan detik cemas apabila Black Sticks memperoleh empat pukulan sudut penalti (PC) berturut-turut.
Mujur, keampuhan barisan pertahanan yang diketuai kapten, Marhan Mohd Jalil, berjaya mengekang asakan lawan.
Memasuki separuh masa kedua, Speedy Tigers yang dibimbing oleh Sarjit Singh memperkemaskan corak serangan.
Usaha itu membuahkan hasil apabila Malaysia dianugerahkan pukulan penalti yang disempurnakan dengan cemerlang oleh Fitri Saari pada minit ke-38 untuk menewaskan penjaga gol New Zealand, Dominic Dixon.
Berselang seminit, Azrai Aizad Abu Kamal menambah jaringan ketiga Malaysia untuk memberikan kelebihan selesa buat tuan rumah.

Antara aksi perlawanan di antara pasukan Malaysia menentang New Zealand. Foto Sinar Harian MOHD HALIM ABDUL WAHID
Namun, malang menimpa Fitri apabila beliau dilayangkan kad kuning dan diarahkan keluar padang selama 10 minit.
Kesempatan itu dimanfaatkan sepenuhnya oleh New Zealand yang dibimbing Greg Nicol, apabila mereka meraih dua gol pantas dalam tempoh dua minit, masing-masing menerusi Finn Ward dan Simon Yorston.
New Zealand terus membara apabila menyamakan kedudukan 3-3 hasil jaringan Sean Findlay pada minit ke-46.
Ward kemudian menggandakan jaringan peribadi pada minit ke-52 untuk mengesahkan kemenangan 4-3 buat pasukan pelawat.
Keputusan tersebut meletakkan New Zealand di tangga teratas Kumpulan B dengan enam mata, diikuti Pakistan di tempat kedua dengan empat mata.
Malaysia berada di tangga ketiga dengan satu mata, manakala Jepun di kedudukan tercorot tanpa sebarang mata.
Terdahulu, Pakistan mencatat kemenangan sulung selepas menumpaskan Jepun 3-2.
Dalam aksi pertama pada Ahad lalu, Malaysia seri 3-3 dengan Pakistan, manakala New Zealand menewaskan Jepun 2-1.
Sebagai rekod, sejak 2013 hingga musim lalu, New Zealand mempunyai rekod lebih baik berbanding Malaysia dengan 12 kemenangan daripada 23 pertemuan.
Malaysia pula mencatat enam kemenangan, manakala lima perlawanan lagi berakhir dengan keputusan seri.
Kali terakhir Speedy Tigers menewaskan Black Sticks ialah ketika saingan Piala Sultan Azlan Shah di Ipoh, pada Mei tahun lalu, dengan kemenangan 6-4.
Untuk rekod, Malaysia menamatkan saingan di tempat keempat pada edisi 2022 dan ketujuh pada musim 2023/24.
Juara kejohanan Piala Negara-Negara ini akan layak beraksi dalam Liga Profesional 2025/26 yang sebelum ini dikenali sebagai Liga Hoki Dunia.