Di sebalik aksi tular beriba sambil memandu bas ekspres, terselit kisah seorang wanita muda yang pernah melakar kecemerlangan dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dengan keputusan 8A dan 2B.
Nur Adila Najwa Ilham Ameerullah, 21, mendedahkan keputusan SPM itu ketika merayu hukuman diringankan di Mahkamah Majistret Jasin hari ini selepas mengaku bersalah atas pertuduhan memandu secara berbahaya.
Dalam nada sebak, dia berkata kehidupannya berubah selepas kehilangan nenek yang menjaganya sejak kecil serta berdepan kekangan kewangan sehingga terpaksa melepaskan peluang melanjutkan pelajaran.
“Saya mengaku salah. Umur saya baru 21 tahun dan tinggal bersama nenek sejak bayi.
“Saya memperoleh keputusan 8A dan 2B dalam SPM, namun terpaksa menolak tawaran melanjutkan pelajaran kerana kekangan kewangan.
“Selepas nenek meninggal dunia, tiada siapa yang menanggung saya, lalu saya berhijrah ke Kuala Lumpur untuk bekerja dan berharap dapat menyambung pelajaran,” katanya dalam laporan Sinar Harian.

Namun, rayuan itu tidak mengubah keputusan mahkamah apabila Nur Adila dijatuhkan hukuman penjara enam bulan dan denda RM5,000, atau tambahan dua bulan penjara jika gagal membayar bagi kesalahan memandu secara berbahaya.
Dia turut didenda RM100 selepas mengaku bersalah atas satu lagi pertuduhan mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang penumpang wanita berusia 44 tahun.
Majistret Mazana Sinin dalam penghakimannya berkata tindakan tertuduh jelas mengabaikan keselamatan walaupun tiada kemalangan berlaku dan berharap hukuman itu menjadi pengajaran.
Kes itu bermula apabila Nur Adila bersama kekasihnya, Arif Fahmi Abd Salam, 36, tular di media sosial selepas dirakam melakukan aksi meriba ketika kenderaan itu sedang bergerak dalam perjalanan dari Terminal Bersepadu Selatan (TBS) ke Johor, Ahad lalu.
Mengikut pertuduhan, mereka secara bersama memandu bas bernombor pendaftaran APE 9588 dengan cara berbahaya kepada orang awam di susur keluar Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Bemban, Lebuhraya Utara-Selatan arah selatan, kira-kira jam 7.30 malam.
Dalam kes sama, Arif Fahmi dijatuhi hukuman penjara setahun dan denda RM5,000, manakala Nur Adila turut menerima hukuman penjara enam bulan serta denda sama.
Kedua-duanya turut hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu selama lima tahun.






