“TAK ambil SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) pun boleh berjaya juga.”
Begitulah nada skeptikal segelintir masyarakat yang memandang sijil SPM bukan sesuatu yang penting.
Bagi mereka, kejayaan boleh dikecapi walaupun tanpa sekeping sijil yang dianggap sekadar kertas peperiksaan sahaja.
Namun, dalam realiti kehidupan kita hari ini, kelulusan akademik seperti itu tetap menjadi antara syarat asas yang membuka jalan ke alam pendidikan lebih tinggi selain peluang pekerjaan.
Hakikatnya, tanpa sijil tersebut, seseorang mungkin terhalang untuk ke peringkat lebih baik bagi membangunkan diri, keluarga mahupun masyarakat.
Mufti Wilayah Persekutuan, Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil menjelaskan, dalam kerangka Maqasid Syariah, memperoleh sijil SPM boleh dikategorikan sebagai perkara bersifat hajiyyat atau satu keperluan.
USTAZ AHMAD FAUWAZ
Imam As-Suyuti mengumpamakan al-Hajah atau keperluan itu seperti orang lapar yang mana jika dirinya tidak menemui makanan, maka dia akan berada dalam kepayahan walaupun tidaklah sampai binasa.
“Tanpa sijil (SPM) itu, seseorang akan menghadapi kesulitan untuk melanjutkan pelajaran atau memperoleh kerjaya yang baik.
“Ia bertepatan dengan konsep Maqasid al-Umran, iaitu tujuan syarak dalam pembangunan sosial dan tamadun termasuk dalam pengurusan pendidikan,” katanya sebagaimana dipetik menerusi Tinta Mufti bertajuk Ikhtiar mendapatkan sijil SPM: Suatu tuntutan dalam pendidikan dan pembangunan ummah yang disiarkan di laman web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan pada Rabu.
Bukan itu sahaja, agamawan tersebut menjelaskan, SPM boleh difahami sebagai salah satu bentuk penilaian kelayakan.
Jelas beliau, Islam sendiri mengiktiraf kewujudan ujian untuk menilai kemampuan seseorang sebagaimana kisah Rasulullah SAW ketika mengutuskan Muaz bin Jabal RA ke Yemen.
Baginda menguji bagaimana Muaz akan berhukum sama ada dengan al-Quran, Sunnah atau ijtihad, sebelum melantiknya sebagai pendakwah.
“Ini menggambarkan bahawa Rasulullah SAW sendiri menilai kelayakan Muaz sebelum beliau diberi amanah.

ISLAM tidak menafikan kepentingan kelulusan akademik sebagai instrumen untuk memudahkan urusan kehidupan, bahkan ia selari dengan prinsip penilaian kelayakan yang wujud dalam sejarah Islam. -Gambar hiasan/ Foto: CANVA
“Maka, peperiksaan atau ujian dalam konteks moden seperti SPM adalah suatu bentuk penilaian kelayakan yang selari dengan prinsip Islam,” katanya.
Dalam pada itu, Ustaz Ahmad Fauwaz menjelaskan, umat Islam turut diajar supaya tidak hanya bertawakal tanpa berusaha.
“Dalam hal ini, mengambil peperiksaan SPM merupakan salah satu usaha sebagai ikhtiar bagi memperoleh kemudahan dalam urusan duniawi, manakala segala keputusan setelah itu barulah diserahkan kepada ALLAH SWT.
“Imam Ibnu Hajar menyebut bahawa konsep tawakal bukan bererti hanya menyerahkan sesuatu urusan kepada ALLAH SWT semata-mata, tetapi perlu berusaha sebagai sebab untuk mendapatkan sesuatu perkara.
“Imam Ahmad memberi contoh burung yang bertawakal, tetapi ia tetap keluar pada waktu pagi untuk mencari makanan. Ini menunjukkan usaha itu perlu, barulah tawakal disempurnakan,” jelas beliau.
Walaupun sijil bukan penentu mutlak kejayaan, Ustaz Ahmad Fauwaz menegaskan, ia tetap menjadi instrumen penting dalam memudahkan urusan hidup.
Malah katanya, SPM menjadi syarat asas atau pintu utama untuk melanjutkan pelajaran, membina kerjaya dan seterusnya menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Islam tidak menafikan kepentingan kelulusan akademik sebagai instrumen untuk memudahkan urusan kehidupan, bahkan ia selari dengan prinsip penilaian kelayakan yang wujud dalam sejarah Islam.
“Namun begitu, setiap usaha mesti diiringi dengan tawakal yang benar kepada ALLAH SWT kerana rezeki dan kejayaan hakikatnya datang daripada-NYA,” ungkapnya.