suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terus mempergiat tindakan dalam siasatan Op Layar berkaitan dakwaan rasuah perolehan projek Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dengan membekukan 21 akaun bank serta menyita aset dianggarkan RM2 juta.
Menurut sumber, tindakan itu diambil susulan siasatan ke atas syarikat-syarikat dipercayai terbabit rasuah bagi mengesyor dan melantik syarikat kroni seorang pegawai kanan TLDM.
Katanya, pembekuan akaun itu termasuk tujuh akaun syarikat dan 14 akaun perbankan milik beberapa individu dianggarkan kira-kira RM700,000.
Sumber berkata, setakat ini SPRM turut membuat semakan ke atas beberapa syarikat dengan Jabatan Akauntan Negara (AGC) sama ada terdapat tender atau sebut harga oleh syarikat-syarikat berkenaan.
Menurutnya, siasatan yang dijalankan Bahagian Perisikan SPRM turut menyita dua buah hotel milik pegawai kanan TLDM berkenaan bernilai kira-kira RM2 juta.
“Pada masa ini SPRM sedang mengesan aset-aset lain yang dimiliki suspek dan turut mengesan pemilik-pemilik syarikat yang bersekongkol dengan suspek,” katanya.
Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perisikan SPRM, Datuk Saiful Ezral Arifin ketika dihubungi mengesahkan perkara berkenaan dan berkata, sehingga hari ini SPRM sudah merakam percakapan tujuh individu yang disyaki terbabit dalam kes berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd






