PETALING JAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan belum menerima sebarang laporan rasmi berhubung dakwaan seorang Ahli Parlimen meminta wang daripada ahli perniagaan, Victor Chin, yang dikaitkan dengan isu ‘mafia korporat’.
Menurut SPRM, dakwaan tersebut tidak dapat disahkan setakat ini susulan ketiadaan laporan rasmi yang dikemukakan kepada pihaknya.
“SPRM mengambil maklum pelbagai dakwaan yang berlegar berkaitan isu ini. Justeru, mana-mana pihak yang mempunyai maklumat sahih digesa tampil membuat laporan rasmi bagi membolehkan siasatan dijalankan secara menyeluruh, telus dan berasaskan fakta.
“Suruhanjaya ini komited meneliti setiap maklumat yang diterima dan sebarang tindakan hanya akan diambil berdasarkan bukti kukuh selaras dengan peruntukan undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Victor Chin mendakwa seorang Ahli Parlimen meminta bayaran sebanyak RM10 juta bagi membantu menyelesaikan isu yang didakwanya sebagai skandal ‘mafia korporat’.
Namun, beliau mendakwa baki RM500,000 tidak dibayar kerana masalah tersebut tidak diselesaikan.
Bagaimanapun, Victor kemudian menjelaskan bahawa bayaran itu bukan diberikan kepada Ahli Parlimen berkenaan, sebaliknya disalurkan kepada ‘orang tengah’ sebagai yuran perkhidmatan. – UTUSAN





