am@hmetro.com.my
Masjid Tanah: Kerajaan yakin Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melakukan siasatan secara adil dan profesional dalam kes membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata ia terbukti menerusi pendakwaan yang dilaluinya sebelum ini yang membuktikan dirinya bebas daripada semua 47 pertuduhan.
“Kita menghormati SPRM dan kita berharap SPRM berlaku adil dan tentunya profesional dalam melakukan penyiasatan.
“Secara peribadi, saya juga pernah mengalami keadaan itu, jelas apabila kes saya dibawa ke mahkamah walaupun pelbagai pihak melemparkan tuduhan dan sebagainya, akhirnya keadilan dapat ditegakkan.
“Dan saya harap perkara yang sama akan berlaku di mahkamah (dalam kes Ismail Sabri), itulah harapan kita kepada SPRM,” katanya selepas merasmikan Majlis Santunan Kasih Ramadan (MSKR) Kementerian Kemajuan Desa Dan Wilayah (KKDW) di Masjid Ar-Rahman Kampung Rantau Panjang, di sini hari ini.
Turut hadir, Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh; Timbalan Menteri Kemajuan Desa Dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang serta EXCO Kemajuan Desa, Pertanian dan Keterjaminan Makanan negeri, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh.
SPRM pada sidang media pada 3 Mac lalu, mendedahkan penemuan wang tunai berjumlah kira-kira RM170 juta dalam pelbagai mata wang antarabangsa serta 16 kilogram jongkong emas tulen yang dianggarkan bernilai hampir RM7 juta.
Ia selepas SPRM merampas wang tunai serta jongkong emas itu di tiga premis, termasuk sebuah ‘safe house’ berkaitan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan Ahli Parlimen Bera itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd