mhafis@mediaprima.com.my
Shah Alam: Sektor korporat perlu terus memperkukuhkan komitmen dalam mempromosikan budaya integriti dan tadbir urus baik dalam organisasi.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kuala Lumpur, Mohamad Zakkuan Talib berkata, kegagalan memupuk integriti dalam organisasi bukan sahaja membuka ruang kepada salah guna kuasa, malah boleh merosakkan reputasi sesebuah syarikat.
“Sekarang ini, cabaran dalam dunia perniagaan bukan lagi kecil. Isu rasuah, pecah amanah dan ketirisan makin rumit.
“Sebab itu, pengurusan tertinggi perlu jadi contoh paling ke hadapan dalam soal integriti serta memastikan setiap keputusan dibuat secara telus dan bertanggungjawab,” katanya ketika menjadi ahli panel Forum ‘Leading With Integrity’ bersama Malakoff Corporation Berhad (Malakoff) di sebuah hotel, di sini.
Program itu diadakan bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai risiko rasuah dalam sektor korporat, selain mengukuhkan amalan pencegahan rasuah melalui pendekatan kepimpinan berintegriti.
Forum itu menampilkan tiga barisan panel berkaliber terdiri daripada Mohamad Zakkuan; Ketua Pegawai Eksekutif, Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Ahmad Ramdzan Daud, serta Timbalan Presiden Persatuan Pegawai Integriti Bertauliah Malaysia (ACeIO), Nurirdzuana Ismail yang berkongsi pandangan mengenai peranan pegawai integriti dalam memperkukuh sistem tadbir urus serta membina ketahanan organisasi terhadap risiko rasuah.
Ketiga-tiga panel juga berkongsi pandangan serta strategi pencegahan rasuah membabitkan organisasi besar yang menjadi kunci ampuh dalam mencorakkan landskap sektor korporat di negara ini agar lebih berdaya saing serta berintegriti.
Ahli panel juga bersependapat penekanan kepada elemen integriti adalah asas utama kepada kelestarian syarikat, pembinaan reputasi perniagaan serta menambah keyakinan kepada pemegang taruh.
Turut diadakan Majlis Lafaz Ikrar Bebas Rasuah (IBR) diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malakoff, Syahrunizam Samsudin bersama barisan pengurusan tertinggi syarikat sebagai simbol iltizam bersama dalam memerangi rasuah dan salah guna kuasa di semua peringkat pengurusan.
Dalam pada itu, kepimpinan tertinggi Malakoff turut menzahirkan kesediaan syarikat untuk memperkukuh usaha antirasuah secara menyeluruh dalam organisasi.
© New Straits Times Press (M) Bhd





