KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi jaminan siasatan berhubung projek 1Bestarinet yang melibatkan syarikit utiliti elektrik YTL Power International Bhd, akan dilaksanakan secara profesional dan adil.
Ketua Pesuruhjayanya, Tan Sri Azam Baki menegaskan, pihaknya mematuhi proses yang sewajarnya dalam menjalankan siasatan berkenaan.
Lantaran itu, beliau menyeru agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara tersebut.
“Kami juga akan mempertimbangkan pembelaan yang dikemukakan oleh YTL. Pada masa ini, adalah terlalu awal untuk membuat sebarang kesimpulan, kerana siasatan ini melibatkan pertikaian teknikal berkaitan penyampaian projek antara Kementerian Pendidikan (KPM) dan YTL Communications.
“SPRM akan berusaha untuk mempercepatkan siasatan ini sebaik mungkin,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
YTL Power dalam kenyataan medianya semalam memperjelaskan syarikat itu telah diberikan projek 1Bestarinet melalui proses tender terbuka sekali gus menepis tuduhan salah laku.
Syarikat itu turut memaklumkan, tender tersebut diberikan apabila bidaan pihaknya yang paling mematuhi teknikal dan efektif dari segi kos berbanding kalangan 18 pembida, menunjukkan keupayaan dan merit syarikat.
YTL Power menjelaskan, anak syarikat 60 peratus miliknya, YTL Communications Sdn Bhd akan terus memberikan kerjasama penuh kepada SPRM yang menjalankan siasatan berkaitan perkara itu. – MalaysiaGazette