SPRM Sahkan Tiada Unsur Rasuah Dalam Pembangunan Kolam Takungan Banjir

SPRM Sahkan Tiada Unsur Rasuah Dalam Pembangunan Kolam Takungan Banjir


Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mendapati tiada sebarang unsur rasuah, penyelewengan atau salah guna kuasa ditemui dalam proses pemberimilikan kolam takungan banjir bagi tujuan pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur di Kuala Lumpur.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Hannah Yeoh berkata, hasil siasatan itu diperoleh selepas SPRM menjalankan semakan terhadap semua proses pemberimilikan dan perintah pembangunan yang diberikan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) kepada pemaju.

“Hasil siasatan SPRM mendapati tiada sebarang unsur rasuah, penyelewengan serta salah guna kuasa ditemui di dalam proses pemberimilikan serta perintah pembangunan yang diberikan oleh (DBKL) kepada pemaju,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan selepas pengurusan tertinggi Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) menerima kunjungan dan taklimat SPRM diketuai Ketua Pesuruhjayanya, Datuk Seri Abd. Halim Aman.

Menurut Hannah, SPRM turut menjalankan semakan dokumen, merakam keterangan saksi termasuk pihak pemaju serta mengadakan lawatan ke tapak kawasan kolam takungan banjir yang terlibat.

Katanya, juruukur yang dilantik turut mengesahkan tiada sebarang pencerobohan sempadan berlaku oleh pihak pemaju.

“SPRM seterusnya telah mengemukakan surat kepada DBKL sebagai peringatan agar semua kelulusan pembangunan pada masa hadapan mengambil kira risiko dan fungsi kolam takungan banjir serta melalui proses penilaian yang lebih ketat,” katanya.

Hannah menjelaskan, siasatan itu dimulakan sejak 2021 susulan laporan media dan penemuan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2019 Siri 2 yang mendapati enam kolam takungan banjir telah diluluskan pemberimilikan oleh Pejabat Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (PTGWPKL) untuk pembangunan kediaman dan pembangunan bercampur.

Menurut Hannah, SPRM mendapati kawasan kolam takungan banjir itu telah diluluskan untuk perizaban sejak 19 Jun 1998, namun proses pewartaan masih belum dilaksanakan ketika pemberimilikan tanah dibuat.

“Justeru, pada 9 Oktober 2015, Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Tanah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur telah bersetuju membatalkan kelulusan perizaban yang diluluskan pada 19 Jun 1998 bagi membolehkan kelulusan pemberimilikan seluas 80 ekar diberikan kepada pemaju untuk pembangunan bercampur dengan pengenaan premium berjumlah RM214 juta,” katanya.

Beliau berkata, terdapat kelewatan selama 18 tahun untuk tindakan pewartaan kawasan itu dilaksanakan.

Dalam masa sama, katanya, SPRM turut mengambil maklum tindakan JWP yang menubuhkan pasukan petugas khas bagi mempercepatkan proses pewartaan kawasan hijau dan kolam takungan banjir.

SPRM juga memuji tindakan DBKL yang menghentikan serta-merta semua kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dan pembangunan baharu di kawasan kolam takungan banjir.

“Sesi konsultasi bersama SPRM ini merupakan julung kali diadakan oleh JWP dan pastinya bukan yang terakhir,” tegasnya.

Beliau berkata, JWP komited untuk terus memelihara kawasan lapang dan kolam takungan banjir demi kesejahteraan warga Kuala Lumpur serta akan mempercepatkan proses pewartaan baki 30 peratus kawasan yang telah diluluskan.






Source link

OR

Scroll to Top