July 23, 2024

SPRM siasat 100 syarikat ejen penghantaran terbabit 'kontena terbang'

SPRM siasat 100 syarikat ejen penghantaran terbabit 'kontena terbang'



rnoraina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesan lebih 100 syarikat disyaki terbabit sindiket ‘kontena terbang’ yang merasuah pegawai penguat kuasa bagi melicinkan proses penyeludupan tanpa melalui pengisytiharan serta pemeriksaan di pintu masuk negara.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, syarikat berkenaan adalah ejen penghantaran (forwarding agent) yang bertindak sebagai orang tengah bagi pembayaran habuan kepada pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Beliau berkata, ia susulan penahanan 34 pegawai kastam di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menerusi Op Samba 2.0 dan 11 pegawai di Pelabuhan Klang, Selangor yang ditahan menerusi operasi khas baru-baru ini.

“Kita (SPRM) juga sedang menyiasat kewangan syarikat terutama ejen penghantaran. Kita membawa masuk JKDM dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) kerana membabitkan siasatan kewangan.

“Ini akan mengambil masa lagi untuk membuat pengesanan ke arah tindakan pertuduhan. Kita menggunakan pendekatan berbeza dalam menjalankan siasatan syarikat berbanding siasatan yang dijalankan ke atas pegawai,” katanya ketika ditemui pemberita di Balai Berita NSTP di sini, hari ini.

Harian Metro semalam melaporkan, SPRM menahan 11 pegawai kastam bagi membantu siasatan kes rasuah membabitkan ketirisan duti kastam dianggarkan berjumlah RM3.5 billion di Pelabuhan Klang, Selangor baru-baru ini.

Selain itu enam individu iaitu pengarah, pekerja syarikat, seorang runner dan kekasihnya turut ditahan SPRM selepas dikaitkan dengan sindiket berkenaan.

Menurut sumber, hasil siasatan setakat ini, SPRM berjaya merampas wang tunai sejumlah RM4.4 juta dipercayai diperoleh secara rasuah oleh pegawai kastam terbabit.

Dalam pada itu, Azam berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan akan menggunakan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 untuk mengarahkan pegawai terbabit mengisytiharkan harta mereka.

Beliau berkata, tindakan itu bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan termasuk dari mana sumber kewangan diperoleh dan ke mana dibelanjakan.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top