SPRM siasat kes penipuan pindah milik tanah

SPRM siasat kes penipuan pindah milik tanah


ALOR SETAR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kedah membuka kertas siasatan membabitkan kes penipuan hak milik tanah di Kuala Kedah yang tular di media sosial, baru-baru ini.

Menurut sumber, SPRM telah memanggil tiga individu yang terlibat bagi mendapatkan penjelasan serta maklumat, selain telah memperolehi beberapa dokumen berkaitan kes itu.

“Fokus siasatan dijalankan SPRM tertumpu kepada isu rasuah serta penggunaan dokumen-dokumen yang dipercayai palsu bagi tujuan pindah milik tanah-tanah terbabit.

“SPRM juga telah mengenal pasti individu-individu serta agensi yang disyaki terbabit dengan kes ini dan akan memanggil mereka dalam waktu terdekat bagi mendapatkan maklumat,” katanya di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kedah, Ahmad Nizam Ismail ketika dihubungi mengesahkan siasatan yang dijalankan di bawah Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Bagaimanapun, beliau berharap orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung isu ini sehingga siasatan selesai dijalankan.

Baru-baru ini, tular kenyataan seorang lelaki dikenali sebagai Abu Ismail Abu Yaziz dan anak perempuannya yang tidak berpuas hati dengan pihak polis khususnya Polis Daerah Kota Setar yang didakwa seolah-olah tidak mengambil tindakan ke atas laporan yang dibuat.

Namun, polis menafikan dakwaan yang dibuat oleh individu itu kononnya pihaknya tidak mengambil tindakan ke atas laporan yang dibuat berhubung isu pertikaian Lesen Pendudukan Sementara (LPS) ke atas sebidang tanah di Mukim Kuala Kedah.

Pertikaian antara individu terbabit bersama seorang lagi individu lain tercetus sejak tahun 2013 dan telah dibawa ke peringkat mahkamah. Rentetan itu, beberapa laporan polis telah dibuat oleh kedua-dua pihak berkait isu itu.

Tiga kertas siasatan telah dibuka melibatkan kesalahan di bawah Seksyen 506, Seksyen 437 dan Seksyen 468 Kanun Keseksaan dengan dua daripadanya telah selesai sementara satu lagi siasatan masih diteruskan memandangkan beberapa dokumen yang didakwa palsu, memerlukan pengesahan pihak-pihak berkaitan.– UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top