SPRM tumpu kesan aliran wang babit lukisan dikaitkan 1MDB

SPRM tumpu kesan aliran wang babit lukisan dikaitkan 1MDB

SPRM tumpu kesan aliran wang babit lukisan dikaitkan 1MDB


PETALING JAYA : Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kini mempergiat usaha mengesan dan mengembalikan aset lukisan yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, fokus utama tertumpu kepada aliran wang hasil transaksi aset berkenaan.

Kata beliau, penyiasatan sudah dijalankan bersama pihak berkuasa di Amerika Syarikat (AS) termasuk Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI) dan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat (DOJ).

“Menerusi permohonan Mutual Legal Assistance (MLA), kita sering dilihat seolah-olah hanya mahu membawa pulang lukisan. Namun yang lebih penting adalah transaksi wang yang telah berlaku.

“Secara fizikal, lukisan itu memang boleh dibawa balik, tetapi hakikatnya ia tidak bergerak ke mana-mana. Yang bergerak ialah wang,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Azam menjelaskan, isu lukisan menjadi perhatian umum kerana ia sering dijadikan tajuk utama laporan media, sedangkan aspek kritikal sebenar ialah unsur pengubahan wang haram yang melibatkan transaksi pembelian aset tersebut.

“Lukisan itu hanyalah medium. Isu sebenar ialah pencucian wang menggunakan aset seni sebagai saluran transaksi,” jelasnya.

Katanya, perbincangan sudah diadakan bagi memastikan wang dan aset boleh dipulangkan ke Malaysia mengikut prosedur sah.

“Perbincangan telah diadakan tentang cara membawa lukisan itu dengan nilainya balik ke Malaysia,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Berhad (1MDB) terus diperkukuh apabila DOJ bersetuju untuk mengembalikan koleksi lukisan bernilai lebih AS$30 juta (lebih RM122 juta) kepada Malaysia.

Perkara itu dipersetujui hasil dua siri perbincangan rasmi pihaknya bersama Biro Penyiasatan FBI dan DOJ yang berlangsung di Washington dan New York pada 9 dan 11 Disember lalu.

Antara perkara utama yang dibincangkan adalah berkaitan pemulihan aset 1MDB melibatkan usaha mengembalikan lukisan bernilai tinggi yang dibeli Jasmine Loo dan kini berada di bawah kawalan DOJ.

Dianggarkan 12 lukisan milik Jasmine Loo yang dipegang oleh firma Christie’s dan Sotheby’s Auction House, AS antaranya Pablo Picaso (1961), L’Ecuyere et les clowns; Joan Miró,(1953) Composition; William H Bailey (b.1930), Still Life; Alexander Calder (1898-1976), Studies for Sculpture; dan Henri Matisse (1869-1954), Femme Assise yang kesemuanya bernilai melebihi AS$30 juta.





Source link

OR

Scroll to Top