Spurs sambar Savinho RM469 juta

Spurs sambar Savinho RM469 juta


TOTTENHAM Hotspur meneruskan pembentukan skuad baharu dengan membawa masuk pemain sayap Manchester City, Savio Moreira de Oliveira atau lebih dikenali sebagai Savinho, menerusi yuran perpindahan £85 juta (RM468.83 juta).

Pemain berusia 22 tahun itu bersetuju menyertai Spurs dengan kontrak selama lima tahun, sekali gus menjadi antara pembelian bernilai tinggi kelab London berkenaan pada jendela perpindahan musim panas ini.

Pemain antarabangsa Brazil itu turut mencuri perhatian apabila Tottenham memilih untuk menggunakan nama ‘Savio’ dalam pengumuman rasmi, berbanding nama Savinho yang lebih popular dalam kalangan penyokong.

Savinho mengakui proses perpindahan tersebut mengambil masa agak panjang, namun dia kini tidak sabar untuk memulakan kehidupan baharu di utara London bersama Tottenham.

“Ia mengambil masa agak lama, tetapi saya sangat gembira berada di sini. Ini peluang yang hebat di sebuah kelab yang luar biasa bersama salah seorang pengendali terbaik dunia,” katanya.

Menurut Savinho, perbualannya dengan De Zerbi menjadi faktor penting yang meyakinkannya untuk menerima tawaran Tottenham selepas pengendali berkenaan menjelaskan perancangannya terhadap perkembangan pemain itu.

“Sebaik sahaja saya bercakap dengan pengendali pasukan, saya tahu saya perlu datang ke sini. Dia memberitahu mahu membantu saya mencapai tahap tertinggi dan saya percaya kami mampu melakukannya bersama sebagai satu pasukan,” katanya.

Sementara itu, De Zerbi menyifatkan kehadiran Savinho sebagai tambahan penting kepada skuadnya, terutama berdasarkan kemampuan pemain itu mencipta ancaman ketika berdepan pertahanan lawan.

“Dia mempunyai keberanian untuk mencabar pertahanan lawan dan kemampuan mengubah permainan menerusi kreativiti. Kami sangat gembira memilikinya,” katanya.

Pengendali kelahiran Itali itu sudah membelanjakan lebih £300 juta (RM1.65 bilion) untuk memperkuatkan Spurs pada jendela perpindahan musim panas ini, menunjukkan kesungguhannya membentuk pasukan mengikut acuannya.

“Saya tidak sabar untuk bekerja dengannya, membantu perkembangannya dan melihat personalitinya terserlah dalam pasukan,” kata De Zerbi.



Source link

OR

Scroll to Top