July 27, 2024

SRAM percaya Sivasangari bakal lebih cemerlang



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pengarah Kejurulatihan Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Major (B) S Maniam yakin dengan kemampuan pemain skuasy wanita negara, S Sivasangari untuk mencipta lebih banyak kejayaan pada masa akan datang.

Menurutnya, Sivasangari harus terus fokus dan kekalkan momentum itu kerana setiap lawan yang dikalahkannya akan bangkit dan memburu kembali kemenangan terutama apabila mereka bertemu lagi selepas ini.

“Prestasi dia begitu cemerlang minggu ini (di Klasik London 2024) apabila menang ke atas pemain utama dunia.

“Di suku akhir dia kalahkan pemain nombor satu dunia (Nour El Sherbini), di separuh akhir kalahkan pemain nombor empat dunia (Nele Gilis) dan di final menewaskan pemain nombor dua dunia (Hania El Hammamy).

“Saya yakin dia akan terus berusaha dan bermain bersungguh-sungguh dalam setiap kejohanan.

“Dia akan sentiasa mengambil serius setiap perlawanan dan perlu mengekalkan keadaan mentalnya di dalam permainan selain perlu terus berlatih bersungguh-sungguh untuk mengekalkan tahap kecergasannya,” katanya.

Prestasi terbaik Sivasangari pada 2023 dalam kejohanan skuasy Jelajah Dunia adalah di separuh akhir namun pada 2024, dia berjaya memahat satu lagi sejarah baharu untuk dirinya apabila mara ke final dan muncul juara.

Maniam yakin pemain berusia 25 tahun itu akan berada dalam kelompok 10 pemain terbaik dunia paling cepat bermula bulan hadapan dan dia harus terus mengekalkan prestasi serta kekuatan mental.

Malam tadi, Sivasangari mencipta kejutan apabila menundukkan Hania untuk menjuarai Klasik London 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top