SRG.OG optimis langkah kanan

SRG.OG optimis langkah kanan



sukan@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Juara bertahan Liga Profesional Mobile Legends: Bang Bang (MPL) Malaysia, Selangor Red Giants (SRG.OG) optimis mampu memulakan saingan musim ke-15 dengan langkah kanan dalam perlawanan pertama menentang Team Vamos yang akan berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, esok.

Jurulatih SRG.OG, Michael Angelo Bocado berkata, ketika ini persiapan berjalan lancar mengikut seperti dirancang dan segala taktikal berjaya diterapkan kepada pemain untuk memastikan kemenangan dalam setiap perlawanan.

“Kami sangat bersedia untuk musim ini. Kami mempunyai banyak masa untuk berlatih dan memahami meta dengan lebih baik, selain perasaan setiap pemain juga berada di tahap terbaik. Kami sangat gembira kerana dapat melakukan perkara yang diperlukan sebelum memulakan musim ini.

“Kita perlu berhati-hati dan tidak boleh melakukan perkara sama seperti mana ketika bertemu mereka dalam dua musim sebelum ini. Jadi, kita cuba melakukan sesuatu kelainan dari segi permainan di dalam meta nanti,” katanya.

Selain itu, Angelo atau lebih dikenali dengan Arcadia melihat aksi pembukaan esok pasti mencabar kerana lawan mereka juga dilihat melakukan persediaan secukupnya.

Justeru, beliau menyeru agar anak buahnya lebih berhati-hati dan tidak mengulangi kesilapan mudah semasa di dalam perlawanan.

“Bagi saya, Vamos masih pasukan yang sangat bagus. Mereka ada keseimbangan antara pemain berpengalaman dan bakat muda. Dua pemain baharu mereka itu nampak ada potensi besar, dan kita tertunggu-tunggu bagaimana mereka cuba membentuk kekuatan dan membina keserasian,” katanya.

Untuk rekod, SRG.OG mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi pasukan pertama muncul juara dua musim berturut-turut, iaitu pada musim ke-13 dan ke-14.

Bagi musim ke-15, skuad bimbingan Arcadia yang dibarisi Mark Genzon Sojero Rusiana (kramM), Muhammad Haqqullah Ahmad Shahrul Zaman (Sekys), Hazziq Danish (Stormie), Muhammad Qayyum Ariffin Mohd Suhairi (YumS), John Vincent Banal (Innocent) dan Ilman Zareef Zulkifli (Gojes) sudah pasti mempunyai misi tersendiri untuk melengkapkan hatrik dan mencipta satu lagi sejarah baharu untuk pasukan mereka dan MPL Malaysia.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top