Sri Lanka rampas lebih 50,000 liter bahan api disorok dalam 30 hari

Sri Lanka rampas lebih 50,000 liter bahan api disorok dalam 30 hari


Colombo: Sri Lanka merampas lebih 50,000 liter bahan api yang disorok secara haram dalam tempoh 30 hari lalu dan menahan 31 individu dalam serbuan di seluruh negara, menurut polis pada Ahad, lapor Xinhua.

Jurucakap media polis Asisten Superintenden F. U. Wootler berkata tangkapan dibuat dalam serbuan yang dijalankan di seluruh pulau itu dari 3 Mac hingga 4 April.

Beliau berkata polis merampas lebih 52,000 liter bahan api sepanjang operasi berkenaan, termasuk 47,006 liter diesel, 2,668 liter petrol dan 2,706 liter minyak tanah.

Wootler berkata polis telah memulakan tindakan undang-undang terhadap suspek yang ditahan berkaitan simpanan stok bahan api secara haram itu.

Beliau berkata operasi berkenaan dijalankan atas arahan Ketua Polis Negara bagi menahan individu yang menyorok bahan api secara haram sehingga menimbulkan kesulitan kepada orang ramai ketika krisis tenaga global semakin memuncak.

Sejak tercetusnya pusingan terbaharu konflik ketenteraan di Asia Barat, pihak berkuasa Sri Lanka memperhebat tindakan terhadap aktiviti menyorok bahan api dan pasaran gelap bagi menangani kekurangan bahan api akibat konflik itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top