Aleksandar Cvetkovic (kiri) meledak gol kedua Tok Gajah ketika menentang KDA FC di Temerloh.
SRI Pahang FC masih belum mempunyai barisan terbaik bagi menghadapi Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam aksi final Piala Malaysia pada 26 April ini.
Pengendalinya, Fandi Ahmad berkata, beliau masih mencongak strategi dan gabungan pemain terbaik dan akan menggunakan baki dua perlawanan Liga Super menentang Perak FC dan Penang FC sebagai kayu ukur.
Menurutnya, kemenangan besar ke atas Kedah Darul Aman (KDA) FC 6-0 dalam saingan Liga Super pada Selasa juga belum dapat memberikan bayangan kesebelasan terbaik untuk menghadapi Harimau Selatan.
Malah, beliau juga menegaskan masih buntu untuk mengenal pasti penggempur yang boleh diturunkan selepas rayuan penggantungan penyerang import, Kpah Sherman ditolak oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
“Kita masih mencari hujung tombak siapa yang boleh menembak (jadi penyerang). Itu masalah kita. Sebab itu tadi (dalam perlawanan menentang Kedah) kita dah rancang untuk masuk dua senjata baharu.
“Tetapi, akibat kecederaan dua tiga orang pemain, kita terpaksa buat perubahan di belakang. Jadi di situ kita terpaksa rombak dan kita mahu cuba pemain bahagian serangan.
“Tetapi, akibat kecederaan tadi kita baru sempat cuba seorang sahaja,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan.
Untuk rekod, Sherman digantung satu perlawanan selepas mengutip kad kuning kedua ketika aksi separuh akhir kedua menentang Sabah FC pada 2 Februari lalu sekali gus menyaksikan dia tidak dapat beraksi dalam perlawanan akhir.
Dalam pada itu, beliau menyifatkan kemenangan besar ke atas Kedah sememangnya ditagih kerana sebelum ini skuad pantai timur itu agak tumpul di depan gawang gol.
“Kita memang nak tengok pemain jaringkan gol, sebab sebelum ini tumpul sikit depan gawang.
“Minggu ini ada dua perlawanan persahabatan dengan pasukan lebih bawah dari kita.
“Jadi kita ambil peluang ini sebaik mungkin. Hasilnya, perlawanan menentang KDA pemain bermain lebih baik di separuh masa kedua dan menang besar,” katanya.