Sri Pahang sekadar seri berdepan KL City

Sri Pahang sekadar seri berdepan  KL City



sukan@hmetro.com.my

Kuantan: Sri Pahang FC gagal mencipta kemenangan apabila terikat 1-1 berdepan Kuala Lumpur (KL) City FC pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Temerloh sebentar tadi.

Bagi tuan rumah, skuad itu seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal memanfaat lebih lima peluang terutama pada separuh masa pertama dalam misi mengutip tiga mata.

Terdahulu, perlawanan sepatutnya bermula pada jam 8.15 malam terlewat 30 minit akibat hujan lebat dan air bertakung di padang.

Berikutan keadaan cuaca semakin baik dan hujan reda, pengadil perlawanan, Mohd Amirul Izwan Yaacob kemudiannya memutuskan perlawanan dimulakan.

Pada perlawanan itu, tuan rumah jelas menguasai hampir keseluruhan pada babak pertama dengan memiliki beberapa percubaan berbahaya ke gawang lawan.

Peluang pertama hadir hasil tandukan Aleksandar Cvetkovic tetapi pertahanan import bola sedikit tersasar di sebelah kiri gawang ketika penjaga gol, Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy sudah tertewas pada minit ke-10.

Begitu juga sentuhan penyerang import, Mykola Ahapov yang sedikit melepasi palang pada minit ke-22.

Namun, pelawat yang memiliki satu peluang pada babak pertama berjaya memanfaatkannya apabila menjaringkan gol pendahuluan hasil sentuhan pemain tengah, Kenny Pallraj pada minit ke-45.

Bersambung babak kedua, Sri Pahang yang ketinggalan berusaha untuk mendapatkan gol penyamaan tetapi pertahanan KL City kekal kental bertahan.

Gol penyamaan yang dicari tuan rumah akhirnya menjelma menerusi Stefano Brundo berjaya menyempurnakan sepakan penalti selepas bola terkena tangan Adrijan Rudovic pada minit ke-79.

Keputusan seri itu kekal sehingga tamat perlawanan dan selaku tuan rumah, Sri Pahang terpaksa akur apabila sekadar mengutip satu mata di laman sendiri.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top