Sri Pahang tidak sertai Liga Malaysia, titik mula fokus pembangunan akar umbi – Sultan Pahang

Sri Pahang tidak sertai Liga Malaysia, titik mula fokus pembangunan akar umbi – Sultan Pahang


KEPUTUSAN Sri Pahang FC untuk tidak menyertai saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025/26 wajar dijadikan titik permulaan kepada usaha memperkukuh pembangunan akar umbi bola sepak negeri itu bagi mengasah bakat pemain tempatan.

Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah persaingan bola sepak moden yang menggunakan pemain import sebagai tonggak utama pasukan memerlukan peruntukan kewangan yang tinggi.

“Saya mengalu-alukan tindakan Sri Pahang (menarik diri)… memang untuk bertanding di peringkat Piala Malaysia atau Liga M memerlukan peruntukan yang besar. Dahulu pun besar juga, tetapi sekarang lebih besar kerana memerlukan tenaga asing (pemain import),” titah baginda.

Sultan Pahang bertitah demikian semasa sesi temu bual khas bersama Bernama di Istana Abdulaziz di sini baru-baru ini sempena hari keputeraan ke-66 baginda.

Justeru, baginda menzahirkan pandangan bahawa lebih banyak akademi dan penganjuran liga di peringkat sekolah serta daerah perlu diwujudkan sebagai platform mencungkil bakat muda sekali gus memperkasakan ekosistem bola sepak tempatan.

“Bukan sahaja pasukan Sri Pahang, pasukan di negeri-negeri lain juga mesti mempunyai liga sendiri. Saya rasa sudah sampai masanya untuk adakan lebih banyak akademi di setiap negeri atau daerah. Tapi saya percaya, keputusan ini memerlukan sumber kewangan yang besar,” titah baginda.

Al-Sultan Abdullah turut berharap tempoh rehat pasukan ‘Tok Gajah’ dapat dimanfaatkan sebaiknya untuk memperkemas struktur kelab termasuk aspek pemain dan kewangan supaya tidak berdepan masalah berulang.

Mengulas dominasi pemain naturalisasi dalam skuad kebangsaan ketika ini, baginda yang pernah menerajui Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku Presiden dari 2014 hingga 2017 berpandangan Harimau Malaya wajar memberikan ruang dan keutamaan kepada pemain tempatan.

“Kalau terlalu ramai pemain naturalisasi, bakat tempatan mungkin akan tenggelam. Jadi, kita tidak ada prospek untuk masa depan dan program pembangunan belia pun mungkin tidak akan menarik minat anak muda.

“Kita memang mahu kejayaan segera, tetapi biarlah ada program akar umbi yang konkrit. Apabila kita berjaya lahirkan pemain berkualiti dari bawah, kita tidak perlu lagi bergantung kepada tenaga asing,” titah baginda.

Sementara itu, sempena ulang tahun seabad Kelab Polo Diraja Pahang, Pekan yang akan disambut pada tahun hadapan, Al-Sultan Abdullah menzahirkan hasrat untuk bersara daripada sukan berkenaan.

“Sukan kuda ini saya (aktif) sampai tahun 2026 kerana Kelab Polo Diraja Pahang akan menyambut (ulang tahun) 100 tahun di Pekan, kita akan adakan pelbagai tournament (pertandingan), insya-ALLAH. Itulah tahun saya akan berhenti dan bersara secara total,” titah baginda.

Baginda juga menzahirkan kesyukuran dan bangga terhadap kejayaan melahirkan empat generasi atlet polo serta anak muda dari Pahang serta beraksi di peringkat antarabangsa seperti di Argentina.

“Saya harap program ini dapat diteruskan,” titah Sultan Pahang yang kini aktif bermain sukan golf, pickleball (bola pikel) dan paddle ball bersama anakanda baginda.

Selain itu, baginda turut berkongsi tip untuk kekal sihat seperti bersenam dua hingga tiga kali seminggu di gimnasium serta melaksanakan aktiviti seperti berbasikal dan berkuda.

“Yang penting sekali jaga pemakanan, khususnya nasi. Makan nasi banyak, itu yang punca kita gemuk, jadi masalah nak jaga badan. Kalau kita dapat kawal pemakanan kita, insya-Allah badan kita akan kekal sihat,” titah baginda. – Bernama



Source link

OR

Scroll to Top