SSMT cipta sejarah juara berganda Sirkit Akhir Liga KPM

SSMT cipta sejarah juara berganda Sirkit Akhir Liga KPM


PASUKAN Sepak Takraw Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) mencipta sejarah tersendiri apabila muncul juara berganda bagi kategori bawah 14 dan 16 tahun dalam Sirkit Akhir Liga Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) yang berlangsung di Pusat Sukan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang pada 27 hingga 30 Oktober lalu.

Kejayaan itu turut diserikan dengan penerimaan lima anugerah pemain terbaik, sekali gus menjadikan SSMT muncul juara keseluruhan kejohanan.

Pembantu jurulatih, Muhammad Zulhilmi Mahusin berkata, antara rahsia kejayaan pasukan kali ini ialah ketenangan dan disiplin rohani yang diterapkan kepada para pemain sepanjang latihan dan kejohanan.

“Kami tidak menekan pemain walaupun dalam situasi ketinggalan mata. Apa yang penting, mereka bermain dengan tenang dan yakin.

“Di SSMT, kami sangat menitikberatkan penjagaan makanan rohani, termasuk solat dan adab dalam bersukan. Ini yang menjadikan mereka kuat bukan hanya dari segi fizikal, tetapi juga mental,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, pendekatan itu membentuk keseimbangan antara prestasi di gelanggang dan pembinaan sahsiah, yang menjadi asas utama kejayaan berpasukan.

“Sebagai jurulatih di peringkat sekolah, kita bukan hanya melatih kemahiran tetapi juga mendidik mereka tentang disiplin dan tanggungjawab kepada ALLAH SWT.

“Harapan kami, bila mereka tamat sekolah nanti, mereka ingat nasihat yang pernah diberikan,” katanya lagi.

Mengulas mengenai persiapan pasukan, Zulhilmi menjelaskan bahawa atlet SSMT menjalani latihan empat hari seminggu, pagi dan petang, dengan perancangan jadual latihan yang rapi oleh barisan jurulatih.

“Sebelum Sirkit Akhir bermula, kami menyertai beberapa kejohanan terbuka anjuran kelab dan persatuan luar bagi menguji kemampuan dan memperbaiki kelemahan pemain. Pendekatan itu membantu mematangkan lagi permainan mereka,” ujarnya.

Sementara itu, ketua jurulatih kategori bawah 16 tahun, Mohd Faisal Muhammad berkata, kemenangan kali ini adalah hasil azam dan tekad membalas kekalahan tahun lalu apabila SSMT hanya bergelar naib juara selepas tewas kepada Sekolah Sukan Mutiara Impian, Pulau Pinang.

“Tahun ini kami nekad untuk merangkul juara bagi kedua-dua kategori. Syukurlah, dengan doa, usaha dan semangat anak-anak SSMT, impian itu menjadi kenyataan,” katanya.

Tambahnya, cabaran paling besar sepanjang kejohanan ialah tekanan untuk mengekalkan prestasi apabila pasukan bawah 16 berada di tangga keempat liga dan perlu memenangi ketiga-tiga perlawanan peringkat akhir bagi melayakkan diri ke suku akhir.

“Mereka menunjukkan kesungguhan dan fokus tinggi hingga berjaya menamatkan kejohanan sebagai juara,” katanya.

Dalam pada itu, Zulhilmi yakin barisan pemain muda ini mempunyai potensi besar digilap ke peringkat kebangsaan.

“Dengan bakat, kemahiran dan disiplin yang mereka miliki, tidak mustahil mereka menjadi pelapis negara suatu hari nanti.

“Kami berharap selepas tamat SPM nanti, ada institusi sukan yang menyambut mereka untuk terus mengembangkan bakat dalam sukan takraw,” ujarnya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Pengetua SSMT, Rosmawati Ismail dan Penolong Kanan Sukan, Abang Sapani Sarbini atas sokongan dan dorongan berterusan kepada atlet.

 

 

Ringkasan AI

  • Pasukan Sekolah Sukan Malaysia Terengganu muncul juara berganda dalam Sirkit Akhir Liga Kementerian Pendidikan Malaysia
  • Menerima lima anugerah pemain terbaik menjadikan mereka juara keseluruhan
  • Rahsia kejayaan termasuk ketenangan dan disiplin rohani
  • Pasukan menjalani latihan empat hari seminggu dengan perancangan jadual yang rapi
  • Potensi pemain muda dianggap besar untuk peringkat kebangsaan



Source link

OR

Scroll to Top