SSMT ungguli Kejohanan Sepak Takraw Peringkat Kebangsaan 2025

SSMT ungguli Kejohanan Sepak Takraw Peringkat Kebangsaan 2025


Barisan jurulatih dan pemain sepka takraw SSMT bersama hadiah kemenangan selepas muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Sepak Takraw Peringkat Kebangsaan 2025 yang berlangsung di Dewan Olimpik SSMT di Kuala Terengganu pada Isnin.

KUALA TERENGGANU – Sekolah Sukan Malaysia Terengganu (SSMT) terus mendominasi sukan sepak takraw remaja apabila muncul juara keseluruhan dalam Kejohanan Sepak Takraw Peringkat Kebangsaan 2025 bagi kategori bawah 12, 14 dan 16 tahun yang berlangsung di Dewan Olimpik SSMT dari 21 hingga 23 Februari lalu.

Kejohanan yang melibatkan 24 regu bagi setiap kategori umur itu menyaksikan persaingan sengit sepanjang tiga hari perlawanan yang bermula dari jam 8 pagi hingga 5 petang.

Pasukan SSMT B berjaya meraih kejuaraan sekali gus membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM500, trofi serta medal bagi kategori bawah 16 (B16).

Regu SSMT D pula muncul naib johan manakala tempat ketiga menjadi milik bersama Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (SSTMI) dan Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).

Bagi kategori Bawah 14 (B14), SSMT A melakar kejayaan apabila memenangi tempat pertama dan membawa pulang hadiah RM400.

Sekolah Sukan Bukit Nenas (SSBN) terpaksa berpuas hati di tempat kedua manakala Sekolah Sukan Negeri Zaba (SSN ZABA) dan Sekolah Sukan Negeri Melaka (SSN MI) berkongsi kedudukan ketiga bersama.

Bagi kategori termuda, bawah 12 (B12), pasukan Hulu Terengganu berjaya muncul juara dan membawa pulang RM300, manakala Pasir Gudang meraih tempat kedua dan tempat ketiga menjadi milik bersama pasukan Besut A dan Sekolah Kebangsaan Sultan Ismail 3.

Jurulatih SSMT, Mohd Faisal Muhammad berkata, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama berpasukan dan kesungguhan yang ditunjukkan oleh semua pemain sepanjang latihan dan kejohanan.

“Kemenangan ini membuktikan usaha gigih dan disiplin pemain sepanjang sesi latihan membuahkan hasil.

“Saya harap kejayaan ini menjadi pemangkin semangat untuk mereka terus cemerlang di peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mohd Faisal berkata, kejayaan tersebut turut membuktikan bahawa negeri itu mempunyai ramai bakat baharu yang berpotensi untuk diketengahkan.

“Dengan pencapaian cemerlang ini, SSMT terus membuktikan keunggulannya sebagai pusat pembangunan bakat sukan negara, khususnya dalam sukan sepak takraw.

“Terima kasih juga atas sokongan Pengetua SSMT, Rosmawati Ismail yang banyak memberi sokongan,” ujarnya.



Source link

OR

Scroll to Top