SSR 2025: Akademi Cobra bangkit atasi SIC di perlawanan kedua

SSR 2025: Akademi Cobra bangkit atasi SIC di perlawanan kedua


Aldillan (dua dari kanan) dan Samuel Rentap (empat dari kiri) bergambar bersama barisan jurulatih dan pemain selepas memenangi perlawanan menentang SIC di Kota Bharu pada Sabtu.

AKADEMI Cobra menampilkan persembahan lebih garang pada perlawanan kedua Kumpulan Y Kejohanan Super Schools Rugby (SSR) 2025, selepas kecewa dengan perbezaan satu mata pada aksi pembukaan minggu lalu.

Ketua Jurulatihnya, Samuel Rentap Anak Meran berkata, pujian harus diberikan kepada pasukan kerana berjaya mengekalkan disiplin di benteng pertahanan dengan hanya 13 pemain pada sebahagian besar masa perlawanan.

“Walaupun dikenakan beberapa penalti, pasukan masih berjaya mengekalkan aksi dengan terus bertahan dan tidak sesekali berputus asa.

“Pada perlawanan seterusnya, kita perlu mempunyai 15 pemain di atas padang dan melaksanakan tugasan dengan sempurna untuk mempamerkan aksi yang lebih baik,” katanya.

Perlawanan kedua Kumpulan Y menyaksikan Akademi Cobra mengatasi Maktab Sultan Ismail (SIC) dengan keputusan 26-12 di Padang SIC, Kota Bharu pada Sabtu.

Menerusi aksi berkenaan, Kapten Pasukan Akademi Cobra, Muhammad Fawaz Amirulhaq dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Perlawanan.

Sementara itu, Ketua Keseluruhan Akademi Cobra, Datuk Aldillan Anuar berkata, pasukannya berjaya mengekalkan tahap intensiti dengan bertahan dan menghadang serangan bertali arus daripada pihak lawan.

“SIC bermain dengan bagus dan memberi banyak tekanan kepada kita. Syukur jurulatih dan pasukan telah membuat persiapan rapi. Seluruh pasukan menggunakan segala pengajaran terdahulu sebagai motivasi dan momentum untuk bangkit semula pada aksi kedua ini.

“Untuk perlawanan akan datang, ia akan menjadi satu cabaran tetapi ini adalah ragbi dan sebab itulah kita di sini. Mahu beraksi menentang yang terbaik dan melihat sejauh mana tahap kita berada,” ujarnya.

Sebagai rekod, edisi ke-10 SSR pada tahun ini menyaksikan penyertaan sebanyak 36 pasukan dari seluruh negara yang bersaing dalam dua divisyen utama iaitu Divisyen SSR dan Akademi SSRA.



Source link

OR

Scroll to Top