SST buah import usaha wajar pulih ekonomi

SST buah import usaha wajar pulih ekonomi


syazrina@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Orang ramai menyifatkan langkah kerajaan mengenakan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) terhadap buah-buahan import sebagai usaha yang wajar bagi membantu memulihkan ekonomi negara.

Mereka berpendapat, cukai itu bukan sahaja mampu menambah pendapatan negara, sebaliknya membantu golongan memerlukan selain memberi peluang perniagaan tempatan lebih berdaya saing.

Tinjauan di beberapa kedai buah-buahan di ibu kota mendapati, harga buah di sesetengah gerai masih belum menunjukkan sebarang perubahan, namun bagi harga buah potong pula, ada peniaga yang mengecilkan kuantiti jualan sambil mengekalkan harga sedia ada.

Seorang pentadbir di syarikat swasta di ibu kota, Emma Zainul, 29, berkata, dia menyedari berlaku sedikit perubahan membabitkan kuantiti buah potong import yang dibelinya berbanding sebelum ini, walaupun harga dilihat masih hampir sama.

“Pendapat saya kalau ada peningkatan pada masa akan datang, saya tetap akan buat pembelian kerana ia keperluan harian.

“Kita perlu anggap juga ini adalah salah satu usaha kerajaan melakukan perubahan demi ekonomi dan kebaikan negara,” katanya ketika ditemui di salah-satu gerai buah di ibu kota.

Pada 9 Jun lalu, kerajaan mengumumkan semakan bersasar kadar Cukai Jualan dan peluasan skop Cukai Perkhidmatan yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai 2025.

Kadar cukai jualan kekal tidak berubah bagi barangan keperluan, manakala kadar sama ada lima atau 10 peratus akan dikenakan ke atas barangan yang tidak penting atau mengikut budi bicara.

Skop cukai perkhidmatan akan diperluaskan merangkumi enam perkhidmatan baharu seperti penyewaan atau pajakan, pembinaan, kewangan, penjagaan kesihatan swasta, pendidikan dan kecantikan.

Dalam pada itu, pekerja swasta, Iqmal Hairolnizam, 25, menyedari terdapat kenaikan harga pada beberapa jenis buah seperti avocado yang sering dibelinya, namun tidak menganggap ia membebankan kerana pembelian hanya dilakukan sekali-sekala.

“Selalu beli satu kilogram (kg) lebih kurang RM15 ke RM16 sahaja, tetapi kali ini bila dinaikkan mungkin naik sedikit sahaja, tak melebihi RM20 pun,” ujarnya.

Menurut Iqmal, secara peribadi, dia tidak melihat langkah mengenakan cukai terhadap buah import sebagai masalah memandangkan hasil kutipan itu boleh dimanfaatkan untuk membantu golongan memerlukan.

Turut senada, pekerja swasta, Damia Farkhan Norhama, 23, berkata, dia sudah dimaklumkan mengenai kenaikan harga buah import oleh kakaknya yang lebih awal memberi peringatan memandangkan mereka sekeluarga gemar membeli buah.

“Sejujurnya saya masih belum sempat membuat pembelian sendiri di pasar raya, tetapi kakak ada cakap harga buah import naik… tetapi bagi saya ia bukan perkara membebankan sebab saya beli pun tak banyak sekadar memenuhi keinginan.

“Saya percaya langkah kerajaan mengenakan cukai itu dapat dimanfaatkan untuk membantu perniagaan kecil dan sederhana (PKS) serta golongan memerlukan,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top