Fadzli (kiri) turun padang meninjau projek menaik taraf padang dan rumput di Stadium Darul Makmur pada Khamis.
PROJEK naik taraf padang dan rumput Stadium Darul Makmur bermula September lalu kini berada pada fasa akhir apabila kerja-kerja penanaman rumput Bermuda Tifgrand menggunakan keratan akar telah dimulakan pada Rabu.
Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-Badan Bukan Kerajaan, Fadzli Mohamad Kamal berkata, rumput Bermuda Tifgrand yang ditanam jenis yang terbaharu dalam industri rumput padang sukan dan pertama seumpamanya di negara ini.
Menurutnya, rumput jenis itu tahan lasak, lebih hijau dan tumbuh rapat.
“Sistem siraman automatik juga telah siap dipasang dan berfungsi dengan baik.
“Sistem siraman itu menggunakan air kitaran semula dari air hujan yang mampu menyimpan air sebanyak 150,000 liter,” katanya melalui kenyataan pada Khamis.
Terdahulu beliau turun padang meninjau projek menaik taraf padang dan rumput di stadium itu pada Khamis.
Fadzli berkata, rumput itu dijangka matang Mac tahun depan dan boleh mula digunakan sepenuhnya selepas itu.
Projek menaik taraf rumput di Stadium Darul Makmur antara langkah pemodenan imej stadium itu yang sedang giat dilakukan.