PERUBAHAN tarikh perlawanan akhir Unifi Piala Malaysia 2024-2025 daripada 12 April kepada 26 April tampaknya langsung tidak memadamkan semangat para penyokong kedua-dua pasukan finalis, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Sri Pahang FC.
Malah, perubahan tarikh berkenaan dilihat sebagai peluang untuk lebih bersiap siaga kepada penyokong Tok Gajah dan Harimau Selatan sebelum bertandang ke Stadium Nasional Bukit Jalil.
Bagi penyokong setia Sri Pahang FC, Mat Noorzie, perubahan ini diterima dengan tangan terbuka. Bagi beliau, penundaan tarikh ini memberi peluang yang lebih luas untuk melakukan persiapan, selain menyusun rancangan perjalanan dengan lebih teratur.
“Perasaan saya tetap gembira apabila mendapat tahu tarikh akhir telah diubah. Ini sebenarnya memberikan lebih ruang dan masa untuk penyokong seperti saya membuat persiapan. Sama ada untuk penyokong Sri Pahang atau JDT, perubahan ini pasti membantu kami untuk mempersiapkan diri dengan lebih baik,” katanya.
Antara penyokong Tok Gajah yang dijangka hadir ke Bukit Jalil bagi memberi sokongan kepada Pahang.
Walaupun mengakui ada penyokong yang mungkin kecewa kerana telah membuat tempahan awal untuk penginapan atau pengangkutan, Noorzie yakin kebanyakan penyokong akan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan ini.
Lebih penting bagi beliau, kehadiran maksimum penyokong di stadium adalah kunci utama untuk memberikan suntikan semangat buat pemain di atas padang.
“Perubahan ini adalah peluang keemasan. Tambahan pula, kita akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Sudah tentu, ada penyokong yang perlu menguruskan bajet mereka dengan baik untuk datang ke perlawanan.
“Saya yakin pemain dan pasukan pun akan lebih bersemangat kerana mereka juga diberi masa tambahan untuk persiapan menghadapi perlawanan paling dinanti-nantikan ini,” tambahnya.
Dalam pada itu, di kem Johor Darul Ta’zim (JDT), Rafiee Ahmad Razi, penyokong tegar Harimau Selatan, berkongsi pandangan yang hampir sama.
Beliau melihat penundaan tarikh ini sebagai peluang untuk menikmati sambutan Hari Raya Aidilfitri dengan lebih tenang sebelum menumpukan sepenuh perhatian kepada final tersebut.
“Alhamdulillah, inilah yang kami, para penyokong, mahukan—penundaan tarikh perlawanan. Ini memberi kami lebih ruang untuk berhari raya bersama keluarga dan sanak saudara tanpa tergesa-gesa.
“Pastinya lebih menyeronokkan apabila kita tidak terikat dengan jadual perlawanan yang terlalu hampir dengan Hari Raya,” kata Rafiee.
Rafiee turut mengakui bahawa perlawanan akhir kali ini sangat dinantikan, terutama kerana ia akan mempertemukan JDT dengan Sri Pahang yang dianggap sebagai lawan sengit dari Pantai Timur.
Baginya, pertembungan ini akan membawa aksi yang sengit, memandangkan Sri Pahang turut dibarisi oleh beberapa bekas pemain JDT yang pasti mahu membuktikan keupayaan mereka di pentas final.
“Kami sangat teruja untuk menyaksikan perlawanan ini. Menentang Sri Pahang, pasukan yang pernah melahirkan beberapa bekas pemain JDT, pasti akan memberikan cabaran besar. Saya yakin ia akan menjadi perlawanan yang penuh dengan aksi menarik,” tambahnya.
INFO
Perlawanan akhir Piala Malaysia 2024-2025 antara JDT dan Sri Pahang FC akan berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada 26 April depan