Stadium of Light dijangka bergegar sambut Newcastle

Stadium of Light dijangka bergegar sambut Newcastle


London: Pengendali Sunderland, Regis Le Bris menjangka suasana di Stadium of Light bakal bergegar apabila penyokong tuan rumah ‘memeriahkan’ derbi liga Tyne-Wear buat kali pertama selepas lebih sedekad, ketika mereka menerima kunjungan Newcastle United esok.

Sunderland kini di tangga kesembilan dengan 23 mata, satu mata mengatasi Newcastle bimbingan Eddie Howe, selepas aksi meyakinkan dalam kemunculan semula ke divisyen utama.

Prestasi skuad berkenaan di laman sendiri juga jadi faktor utama.

Mereka tidak tewas dalam tujuh aksi di gelanggang sendiri manakala Newcastle hanya menang sekali dalam tujuh perlawanan di tempat lawan.

“Kami menikmati pengalaman baik di Stadium of Light musim ini. Ia sudah bising dan saya jangka ia akan jadi lebih bingit menentang Newcastle.

“Setakat ini, pemain berjaya menggunakan tenaga itu dengan baik untuk meningkatkan momentum, mendesak dan mengubah dinamik perlawanan apabila diperlukan. Jadi saya harap ia berulang lagi.

“Apabila anda berada di padang dan merasai tenaga itu, untuk kami dan juga lawan, impaknya memang besar,” kata Le Bris, kelahiran Perancis.

Tenaga sama juga jelas ketika Sunderland mencuri satu mata lewat permainan menentang pendahulu, Arsenal, dan walaupun hanya menang sekali dalam enam perlawanan liga terakhir, semangat mereka kekal tinggi.

“Kami menentang Newcastle di laman sendiri, itu satu keistimewaan. Kami gembira dapat melalui pengalaman ini di Stadium of Light menentang seteru terbaik liga.

“Di laman sendiri, kami ada kelebihan itu dan kami perlu memanfaatkannya sepenuhnya. Jadi ia akan jadi penting seperti biasa,” ujar Le Bris.

Newcastle menewaskan Sunderland 3-0 dalam pusingan ketiga Piala FA di tempat lawan pada Januari 2024 namun tidak pernah mengatasi mereka dalam saingan liga sejak 2011, tempoh di mana mereka tewas enam kali dan seri tiga kali.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top