Hanoi: Vingroup dari Vietnam sedang mempercepatkan pembinaan sebuah stadium di Hanoi yang menurut syarikat itu akan menjadi stadium terbesar di dunia.
Pembinaan stadium terbabit adalah dengan pertaruhan bahawa permintaan pada masa depan akan muncul bagi menjadikan venue berkapasiti 135,000 tempat duduk itu berdaya maju dari segi kewangan dalam jangka panjang.
Ribuan pekerja beroperasi sepanjang masa di tapak pembinaan yang terletak kira-kira 25 kilometer (km) di selatan pusat Hanoi untuk menyiapkan stadium itu menjelang Julai 2027, kata wakil Vingroup kepada Reuters semasa lawatan tapak minggu ini.
Tarikh jangkaan siap itu adalah setahun lebih awal daripada pelan asal yang diumumkan pada Disember lalu.
Stadium itu akan mempunyai kapasiti tempat duduk terbesar di dunia dan turut dilengkapi bumbung boleh buka dan tutup sepenuhnya yang terbesar, menurut Vingroup yang juga syarikat terbesar di Vietnam dari segi permodalan pasaran.
Venue terbesar dunia ketika ini, menurut Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) adalah Stadium Rungrado di Pyongyang, Korea Utara yang dilaporkan mempunyai kapasiti 150,000 penonton.
Namun, sesetengah pemerhati mempertikaikan angka itu dan menganggarkan jumlah tempat duduknya kurang daripada 120,000.
Vingroup berkata, skala projek itu mencerminkan perancangannya untuk menganjurkan acara sukan dan kebudayaan berskala besar termasuk konsert.
“Walaupun bola sepak sangat popular di Vietnam, sukar untuk membenarkan pembinaan stadium berkapasiti 135,000 tempat duduk berdasarkan permintaan bola sepak domestik semata-mata.
“Liga utama Vietnam, V League 1 mencatat purata kurang daripada 6,000 penonton bagi setiap perlawanan pada musim 2023-24,” kata ketua kumpulan perniagaan sukan Deloitte Asia Pasifik, James Walton.
Vingroup enggan mendedahkan sasaran kewangan projek itu, namun berkata pihaknya menjangkakan kemudahan terbabit akan mampan dari segi komersial dalam jangka panjang.
Stadium Trong Dong yang dinamakan sempena gendang gangsa tradisional Vietnam adalah sebahagian daripada pembangunan bernilai AS$35 bilion (RM142 billion) yang diterajui Vingroup bagi membangunkan sebuah ‘Bandar Sukan Olimpik’.
Projek itu direka untuk menjadi tuan rumah acara global utama dan meliputi kawasan lebih 9,000 hektar di pinggir ibu negara.
© New Straits Times Press (M) Bhd






