Standard Arsenal masih jauh untuk menangi EPL

Standard Arsenal masih jauh untuk menangi EPL


Bowen memastikan Arsenal berputih mata di Emirates. Foto: Agensi

PENGENDALI Arsenal, Mikel Arteta yang berang dengan persembahan hambar The Gunners selepas tewas kepada West Ham United di Stadium Emirates mengakui standard pasukan masih jauh daripada yang diperlukan untuk memenangi Liga Perdana Inggeris (EPL).

“Sejujurnya, kami sangat kecewa dan marah dengan keputusan perlawanan ini.

“Saya tidak pernah merasakan kami berada di tahap yang diperlukan, dan saya akui bertanggungjawab sepenuhnya untuk itu. Kami perlu muhasabah diri, apa yang boleh kami lakukan dengan lebih baik, apa yang telah kami lakukan. Namun, soal semangat juang, keinginan, cara kami berlari, dan cara kami mahukannya, tidak ada persoalan tentang itu,” kata Arteta.

Gol minit ke-44 ledakan Jarrod Bowen memastikan kemenangan buat West Ham manakala pemain gantian Arsenal, Myles Lewis-Skelly, dibuang padang minit ke-73 kerana menjatuhkan Mohammed Kudus, insiden mewarnai perlawanan di London tersebut.

Sementara itu, Arteta mahu pemain merasai kekecewaan kekalahan tersebut sebelum menghadapi Nottingham Forest di Stadium City Ground pada Khamis.

“Pertama sekali, rasai kesakitan ini, dalam tempoh 24-48 jam. “Dan pastikan kita kembali pada Isnin dengan semangat dan kemarahan yang masih membara untuk perlawanan pada Khamis,” katanya.

Kekalahan itu menyebabkan Arsenal ketinggalan lapan mata di belakang pendahulu liga, Liverpool. Liverpool berpeluang melebarkan jurang apabila berdepan Manchester City pada Ahad.

Ditanya sama ada persembahan buruk Arsenal disebabkan kekurangan pilihan di bahagian serangan, Arteta menjawab: “Tidak, saya menolak sepenuhnya. Kita bercakap tentang standard pemain dan pasukan yang bermain hari ini, termasuk saya sendiri. Dan itu jauh daripada tahap yang perlu kita capai untuk berpeluang memenangi kejuaraan Liga Perdana. Hari ini tidak, kami sangat konsisten, ya, tetapi bola sepak adalah tentang apa yang anda lakukan hari ini, dan hari ini, kami jauh daripada mencukupi.”



Source link

OR