Status juara dunia bukan beban

Status juara dunia bukan beban


Tang Jie-Ee Wei (kiri) harus diberikan pujian kerana mara ke pentas final buat kali kedua berturut-turut. Foto Agensi

BEREGU campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei menegaskan mereka sama sekali tidak melihat status juara dunia sebagai satu beban, sebaliknya mereka kekal turun dengan mentaliti pencabar biarpun tewas di pentas final Masters China 2025 pada Ahad.

Menurut Ee Wei, mereka turun ke gelanggang tanpa rasa tekanan atau terlalu yakin dengan pencapaian lalu, sebaliknya sentiasa melihat diri sebagai pencabar.

“Bagi kami, gelaran juara dunia sudah pun berlalu. Masih banyak perkara perlu dipelajari daripada pemain bertaraf dunia.

“Fokus kami hanyalah untuk berjuang menentang lawan dan memberi tekanan seperti pasukan pencabar,” katanya.

Dalam aksi di Shenzhen Arena, pasangan ranking ketiga dunia itu tunduk kepada gandingan utama Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran 8-21, 17-21 dalam tempoh 38 minit.

Tang Jie mengakui lawan bermula lebih garang pada set pertama hingga memaksa mereka berusaha mencari rentak permainan.

“Mereka memulakan perlawanan dengan cukup baik. Kami cuba menyesuaikan diri lebih pantas selepas set pertama, namun lawan mempunyai strategi dan pergerakan yang lebih berkesan.

“Tetapi saya akui, mungkin kami tidak berada pada tahap terbaik hari ini, namun kami tetap perlu terus bermain.

“Selepas ini kami akan menganalisis rakaman perlawanan untuk segera membuat penyesuaian,” ujarnya.

Walaupun tewas, pencapaian Tang Jie-Ee Wei tetap bersejarah apabila mereka menjadi beregu campuran Malaysia pertama mara ke final China Masters sejak kejohanan itu diperkenalkan pada 2005.

Malah, kejayaan menumbangkan beregu nombor satu dunia Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping di separuh akhir turut menambah nilai signifikan Tang Jie-Ee Wei dalam perjalanan kempen kali ini.

Selepas muncul juara dunia di Paris, Perancis bulan lalu, fokus Tang Jie-Ee Wei kini beralih ke siri Eropah bulan depan dengan misi memburu kejayaan di Terbuka Denmark Open (14-19 Oktober) dan Terbuka Perancis (21-26 Oktober).

Ringkasan AI

  • Chen Tang Jie-Toh Ee Wei tidak melihat status juara dunia sebagai beban tetapi sebagai pencabar
  • Mereka mempunyai mentaliti untuk berjuang tanpa tekanan dan terus belajar daripada pemain bertaraf dunia
  • Pasangan ini kalah kepada Dechapol Puavaranukroh-Supissara Paewsampran dari Thailand dalam final Masters China 2025
  • Mereka menjadi beregu campuran Malaysia pertama yang mara ke final China Masters sejak 2005
  • Fokus seterusnya adalah siri Eropah dengan bertanding di Terbuka Denmark Open dan Terbuka Perancis



Source link

OR

Scroll to Top