Status nombor dua dunia bukan jaminan kejayaan mudah – Thinaah

Status nombor dua dunia bukan jaminan kejayaan mudah – Thinaah


aida_adilah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Pemain beregu wanita negara, M Thinaah, menegaskan status selaku pasangan nombor dua dunia yang kini digalas bersama gandingannya, Pearly Tan, bukanlah satu jaminan untuk kejayaan mudah di kejohanan utama.

Sebaliknya, pemain kelahiran Klang itu menjelaskan bahawa fokus utama mereka adalah untuk kekal konsisten dan terus saling menyokong di atas gelanggang, bukan sekadar mengejar angka atau kedudukan dalam ranking dunia.

“Bagi kami, menjadi nombor dua dunia hanyalah sekadar nombor. Kami tidak terlalu memikirkan sama ada kami nombor satu, dua atau tiga dunia.

“Yang paling penting adalah memastikan prestasi kami terus konsisten dan saling menyokong antara satu sama lain sepanjang perlawanan,” kata Thinaah ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia di sinia hari ini.

Ditanya mengenai kelebihan sebagai beregu pilihan di Kejohanan Dunia di Paris dari 25 hingga 31 Ogos dan seterusnya membuka peluang besar untuk mencipta sejarah sebagai gandingan wanita pertama Malaysia meraih pingat, Thinaah sekali lagi menegaskan tiada apa yang mudah.

“Kami tidak melihat kepada pemain pilihan kerana dalam kategori beregu wanita, ramai pasangan lain yang bagus dan boleh beri cabaran setara.

“Jadi fokus kami tetap sama, iaitu bermain secara konsisten dan beri yang terbaik dalam setiap perlawanan,” ujarnya.

Mengulas mengenai pasangan handalan China seperti Liu Sheng Shu–Tan Ning serta Chen Qing Chen–Jia Yi Fan antara pencabar yang sentiasa menjadi duri dalam daging, Thinaah mengakui kemenangan tetap menjadi sasaran utama, namun mereka masih dalam proses memperbaiki kelemahan untuk menandingi kekuatan lawan.

“Permainan mereka sangat agresif dan sering memberi tekanan kepada kami. Itu yang kami cuba pelajari daripada mereka dan kami masih berusaha memperbaiki kelemahan menjelang kejohanan seterusnya,” katanya.

Terdahulu Pearly-Thinaah mencatat sejarah tersendiri apabila bergelar pemain kedua dunia, pencapaian tertinggi sepanjang kerjaya mereka dan terbaik buat Malaysia dalam tempoh lebih sedekad.

Kejayaan itu menyaksikan mereka memintas pasangan Jepun, Chiharu Shida-Nami Matsuyama selepas mara ke separuh akhir Terbuka China bulan lalu sekali gus melengkapkan rentetan prestasi konsisten sejak bulan lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top