Status OKU tak halang Adray aktif dalam tiga sukan

Status OKU tak halang Adray aktif dalam tiga sukan


redzuan.muharam@hmetro.com.my

Foto Shahril Badri

Kuala Lumpur : Sejak lahir, pemuda ini sudah disahkan menghidap ‘mild’ Cerebral Palsy (CP) atau kelumpuhan otak tahap ringan.

Dia turut memiliki kelainan kerana kaki kirinya lebih kecil daripada yang kanan.

Namun, di sebalik kekurangan itu, Adray Uzair Abu Bakar, 36, dianugerahkan dengan kelebihan kerana berkebolehan dalam tiga jenis sukan iaitu bola sepak, badminton dan olahraga.

Bakat dan kebolehan dimiliki itu tidak disia-siakan Adray apabila berjaya menjadi atlet paralimpik di bawah Majlis Sukan Negeri Selangor pada 2018 sebelum diserap Majlis Sukan Negara (MSN) lima tahun lalu.

Sejak aktif dalam sukan, Adray berpeluang menyertai pelbagai kejohanan besar hingga ke peringkat suku akhir acara badminton di Sukan Malaysia (SUKMA) 2020, pingat perak kategori lompat jauh dan gangsa untuk acara lari 200 meter SUKMA 2024 serta emas bersama skuad bola sepak CP lelaki negara ketika temasya Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja.

Bercerita lanjut, Adray mengakui status sebagai orang kurang upaya (OKU) fizikal membuatkannya berasa rendah diri, namun mentalnya menjadi kuat hasil latihan sukan yang menuntut disiplin tinggi.

“Pada mulanya agak sukar (biasakan diri sebagai OKU) walapun penerimaan orang sekeliling baik saja tapi sekarang sudah tak ada masalah,” katanya.

Adray berkata, bapanya, Abu Bakar Yaho, 70, adalah sumber inspirasinya kerana dia adalah bekas jurulatih bola sepak pasukan Kuala Lumpur.

Katanya, dari situ dia menanam minat untuk menceburi bidang sukan hingga sekarang.

“Saya mula bermain bola sepak pada usia 10 tahun. Selain itu, saya terus aktif dan turut bermain badminton dan olahraga. Hasil latihan dan disiplin, saya dapat mewakili negara,” katanya ketika ditemui Harian Metro di Taman Tasik Permaisuri, di sini.

Adray berkata, cabarannya adalah berdepan saingan sesama atlet dan ia bukan mudah untuk mewakili peringkat kebangsaan serta meraih kejayaan dalam kejohanan disertai.

Menurut Adray, dia juga tidak dapat lari dari cemuhan individu yang meragui dan memperlekehkan kemampuannya.

“Ada (cemuhan) tapi mental kena kuat. Saya tak jawab dengan kata-kata tapi tunjuk dengan hasil. Bila bermain dengan atlet normal dan nampak OKU dalam padang lagi bagus, lawan punya mental boleh ‘koyak’ hingga mula main kasar kemudian lontarkan cemuhan dengan kata kita cacat.

“Bagi saya, mentaliti begitu adalah rendah sebab dia ketinggalan. Saya tak terkesan dengan cemuhan kerana lagi suka bersaing secara sihat,” katanya yang juga juga dilantik sebagai duta pakaian tempatan, Kultus oleh Seremban Sublimation.

Berhubung Anugerah Sukan Untuk Semua kategori atlet OKU lelaki yang diterimanya sempena Hari Sukan Negara tahun ini, Adray bersyukur walaupun tidak pernah menyangka akan menerima pengiktirafan itu.

“Sejujurnya saya tak sangka sebab ikutkan ramai lagi atlet tapi dipilih mungkin kerana pembabitan saya salam lebih satu sukan dan sumbangan diberi.

“Pada saya, ramai lagi atlet bersusah payah, usaha, ikhlas dan jujur memartabatkan cuma rezeki saya dapat anugerah itu.

“Apa pun, saya percaya dengan usaha juga disiplin dan kerana itu konsisten menjalani latihan setiap hari. Tak mudah kerana bila ada kekurangan fizikal, lebih mudah cedera tapi pengalaman yang ada membantu saya menemui resipi kurangkan risiko kecederaan,” katanya.

Adray mengakui ramai bakat dan pelapis baru serta melihatnya sebagai satu perkembangan baik terutama dalam arena sukan paralimpik negara.

“Bagus sabab mereka (atlet baru) bawa nama Malaysia ke persada antarabangsa tapi selagi larat, saya akan terus ‘kayuh’ (aktif).

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top