Status rayuan FAM ke FIFA masih ‘misteri’

Status rayuan FAM ke FIFA masih ‘misteri’


TANDA tanya terus menyelubungi mengenai status rayuan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap hukuman yang dikenakan oleh Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) apabila tiada sebarang perkembangan rasmi diumumkan setakat ini.

Meskipun peminat bola sepak tempatan menantikan penjelasan, FAM masih belum mengesahkan sama ada proses rayuan telah dihantar atau sebaliknya.

Situasi ini menimbulkan pelbagai persoalan dan kebimbangan dalam kalangan penyokong yang mahu kepastian terhadap langkah seterusnya yang diambil oleh badan induk bola sepak negara itu.

Berdasarkan Artikel 61 Kod Tatatertib FIFA (FDC), FAM perlu memaklumkan niat untuk membuat rayuan secara bertulis dalam tempoh tiga hari selepas menerima notis rasmi penghakiman pada 6 Oktober lalu.

Tempoh tersebut secara rasmi berakhir pada Khamis minggu lepas, namun sehingga kini tiada pengesahan dibuat sama ada notis rayuan itu telah dikemukakan kepada FIFA.

Sekiranya langkah awal itu telah dilakukan, FAM hanya mempunyai tempoh lima hari berikutnya untuk menyerahkan dokumen rayuan penuh kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA, menjadikan semalam sebagai tarikh akhir penghantaran.

Ketiadaan sebarang kenyataan rasmi daripada FAM menimbulkan tanda tanya besar dalam kalangan penyokong yang menuntut kejelasan dan ketelusan mengenai status sebenar rayuan tersebut.

Sebelum ini, FAM pernah memaklumkan bahawa semua dokumen serta bukti sokongan berhubung isu pemain warisan telah lengkap dan sedia dihantar kepada FIFA dengan kadar segera.

Namun, kenyataan itu tidak disusuli dengan sebarang perkembangan baharu menjadikan isu ini tergantung dan menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan peminat bola sepak tanah air.

Dalam konteks ini, FAM perlu sedar bahawa isu berkenaan bukan hanya melibatkan kepentingan organisasi, tetapi turut menyentuh maruah serta imej bola sepak Malaysia di peringkat antarabangsa.

Peminat dan rakyat Malaysia berhak mengetahui perkembangan semasa kerana kes ini turut memberi kesan terhadap reputasi pasukan kebangsaan serta kepercayaan penyokong terhadap integriti badan pengurusan tertinggi bola sepak negara itu.

Untuk rekod, FIFA sebelum ini telah mengeluarkan dokumen penuh penghakiman yang mendedahkan asal usul sebenar tujuh pemain warisan negara yang digantung selepas didapati melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA membabitkan isu pemalsuan dan pengubahan dokumen rasmi.

Tujuh pemain tersebut ialah Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Facundo Garces, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca.

Semua mereka digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak sehingga tempoh tertentu seperti yang ditetapkan oleh FIFA.

Ringkasan AI

  • Tanda tanya tentang status rayuan FAM terhadap hukuman FIFA masih belum jelas
  • FAM belum mengesahkan proses rayuan telah dihantar
  • FAM perlu maklum niat rayuan dalam 3 hari selepas menerima notis pada 6 Oktober
  • Tiada pengesahan rayuan dikemukakan kepada FIFA
  • FAM pernah berkata dokumen bukti isu pemain warisan sedia dihantar ke FIFA



Source link

OR

Scroll to Top