Status Unesco bantu Lenggong catat peningkatan pelancong

Status Unesco bantu Lenggong catat peningkatan pelancong


LENGGONG: Pelbagai pengiktirafan termasuk oleh Organisasi Pendidikan, Sains dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) terhadap Lenggong telah membantu kawasan ini meraih pulangan ekonomi dalam sektor pelancongan.

Berdasarkan petunjuk yang direkodkan, kehadiran pelancong meningkat mendadak 280 peratus iaitu daripada hanya 24,770 orang pada tahun 2022 kepada 114,182 orang pada 2024.

Dalam tempoh sama, pendapatan pemandu pelancong meningkat 237 peratus manakala pendapatan pengusaha penginapan melonjak 145 peratus.

Lembah Lenggong diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia UNESCO pada 2012 serta lokasi Geo­park Kebangsaan pada 2021 dan kini dalam usaha mendapatkan status UNESCO Global Geopark.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, pengiktirafan itu telah memberi impak ketara terhadap landskap ekonomi dan sosial masyarakat setempat.

“Ia membawa kesejahteraan ekonomi langsung kepada masyarakat luar bandar, khususnya kepada komuniti kampung tradisi dan Orang Asli yang kini semakin aktif terlibat dalam pelbagai aktiviti berkaitan pelancongan, kraftangan, makanan tradisional dan program homestay,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap dalam majlis makan malam sempena Sesi Penilaian Aspiring Lenggong UNESCO Global Geopark di sini malam ini.

Turut hadir ialah dua wakil penilai UNESCO, Dr. Mahito Watanabe dari Jepun dan Dr. Ahmet Serdar Aytac dari Turki.

Saarani berkata, kerajaan negeri juga menubuhkan Jawatankuasa Induk Geopark Negeri Perak sebagai penyelaras dasar dan pelaksanaan bagi memastikan semua inisiatif dijalankan secara menyeluruh serta mematuhi standard UNESCO Global Geoparks.

Katanya, kerjasama antarabangsa turut dijalinkan seperti pertukaran pengetahuan dengan negara seperti Jepun, Korea Selatan dan Turki.

“Semuanya kami lakukan dengan satu tekad agar nama Lenggong terpahat di peta dunia sebagai UNESCO Global Geopark,” katanya.

Tambahnya, beberapa kawasan di Lenggong dikenalpasti sebagai lokasi berpotensi untuk dibangunkan meliputi 39 geotapak, 11 tapak geoarkeologi, lapan biotapak dan 21 tapak budaya dan warisan.- UTUSAN

 





Source link

OR

Scroll to Top