Penyanyi yang popular menerusi lagu Stecu Stecu (Stelan Cuek), Faris Adam mengaku berdepan tekanan apabila namanya terpalit dengan video kontroversi sebelum ini.
Kata Faris, tindakan itu dilihat sebagai usaha untuk menjatuhkan dirinya ketika namanya sedang berada di kemuncak, susulan sambutan hangat terhadap single berkenaan.
“Saya pun tak tahu macam mana nak jelaskan. Tapi alhamdulillah perkara itu sudah tenang.
“Waktu itu lagu Stecu Stecu memang tengah high, tengah boom… jadi orang mahu menjatuhkan tu senang sangat. Seperti ‘pohon yang berbuah yang dilempari batu.. Makin tinggi pohon, makin kencang juga anginnya’,” katanya.
Faris berkongsi hal itu ketika ditemui pada majlis sidang media konsert Malam FYP Timur, pada Selasa.

Mengulas lanjut, penyanyi asal Ternate, Maluku Utara itu berkata, selain berdepan tekanan dia juga pernah menganggap kariernya sudah berada di ambang kehancuran gara-gara penyebaran video tidak senonoh itu.
“Jejaskan karier? Pada ketika itu saya pernah terfikir ‘hancur juga ni mungkin karier saya’… Tapi alhamdulillah, mungkin kerana Allah juga.
“Saya juga berdoa minta pertolongan kepada Allah dan semuanya lancar sehingga kini.
“Ada ketikanya ketika saya diundang untuk membuat persembahan, penganjur acara sering ajukan soalan mengenai isu kontroversi itu.
“Tapi saya cuma boleh diam, menangis dan berdoa sahaja pada ketika itu,” jelasnya.

Terdahulu, viral sepotong video pendek berdurasi 1 minit 25 saat memaparkan seorang lelaki didakwa Faris hanya mengenakan seluar pendek (boxer) berwarna hitam sambil membuat panggilan video dan melakukan aksi tidak senonoh.






