GEORGE TOWN : Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Steven Sim Chee Keong baru-baru ini membuat kejutan apabila hadir pada hari pendaftaran anak kepada bekas pemandunya yang dikenali sebagai Abang Elias di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Negeri Sembilan.
Katanya, Elias yang dikenali sewaktu beliau menjadi Timbalan Menteri Belia dan Sukan bukan sekadar pemandu, tetapi telah dianggap sebagai sahabatnya sendiri kerana setia menunggu di lapangan terbang dan membawa beliau ke mana sahaja tanpa mengira siang atau malam.
Jelas Steven, walaupun sudah lama meninggalkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), hubungan mereka bagaimanapun tidak pernah putus sehingga ke hari ini.
“Baru-baru ini saya dengar anak dia (Elias), Ellyna, dapat 9A dalam SPM (Sijil Pelajaran Malaysia). Lagi membanggakan, Ellyna sambung belajar di USIM dalam program Tamhidi Syariah dan Undang-Undang serta bercita-cita untuk menjadi peguam syarie.
“Abang Elias juga ada hubungi saya untuk minta bantuan sebuah laptop untuk Ellyna. Jadi, pada hari pendaftaran masuk USIM, saya buat ‘surprise’ (kejutan) untuk depa (mereka).
“Dah lama saya tak jumpa Elias, jadi, saya bawa sendiri sebuah laptop pi (pergi) ke kampus itu untuk serah sendiri kepada Ellyna,” katanya menerusi satu hantaran dalam laman Facebook, hari ini.
Steven yang juga Ahli Parlimen Bukit Mertajam berkata, beliau gembira kerana berjumpa semula dengan Elias serta berbangga dengan pencapaian Ellyna kerana pelajar tersebut membalas budi kedua ibu bapanya yang bekerja keras dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya ke universiti.
“Jadi, sebelum balik, saya minta izin daripada Abang Elias untuk ambik Ellyna sebagai anak angkat saya, supaya saya dapat turut jaga kebajikan dia sepanjang belajar di sini (USIM).
“Harapan saya, semoga Ellyna terus kuat melangkah, bukan saja dengan ilmu, tapi juga dengan akhlak yang mulia. Saya percaya anak sahabat saya ni akan jadi peguam syarie yang berintegriti dan membela keadilan, bantu orang yang memerlukan kelak,” ujar beliau.-UTUSAN






