IPOH: Kuala Lumpur Thunder menambah koleksi gelaran apabila muncul juara sirkit ketiga STL Premier Emas Anuar GP Perak di Stadium Indera Mulia di sini hari ini.
Dalam derby Lembah Kelang itu, KL Thunder menang 15-10, 15-11 ke atas Selangor Piston dalam tempoh 48 minit.
Walaupun merehatkan tekong utama, Syahir Rosdi tetapi ia tidak menjejas rentak KL Thunder yang menguasai perlawanan.
Sebaliknya penggantinya, Zharif Merican membuktikan kemampuan tinggi untuk membantu KL Thunder menjulang gelaran ketiga selepas kejayaan di Selangor dan Terengganu.
Dengan kemenangan itu, KL Thunder meraih hadiah wang tunai RM15, 000 selaku juara.
Walaupun Selangor Piston memasukkan tekong utama, Zuhri Zain selepas ketinggalan 8-3 di set pertama, ia ternyata tidak mampu menyelamatkan wakil Selangor itu yang pulang dengan hadiah wang tunai RM8,000.
Sebaliknya, KL Thunder menguasai perlawanan melalui variasi servis Zharif serta rejaman Azlan Alias serta pertahanan kental, Amirul Zazwan.
Sementara itu, tuan rumah Perak Bison menebus kekecewaan dengan menamat cabaran di tempat ketiga.
Tumpas 0-2 kepada KL Thunder, dalam separuh akhir di sebelah pagi, Perak Bison menumpaskan ATM Guardians 2-0.
Tuan rumah berjaya meningkatkan persembahan mereka untuk menang 15-12, 15-11 dalam tempoh 55 minit.
Biarpun trio Guardians, Muhammad Nazmi Najib, Muhammad Afifuddin, Norfaizzul Razak cuba memberi tentangan tetapi terpaksa akur dengan kelebihan regu tuan rumah.
Ditambah dengan sokongan padu penyokong tempatan yang memenuhi Stadium tertutup itu, regu Kritsada Sunvung, Noraizat Nordin dan Asraaf Abdul Hadi tidak mengecewakan mereka.
Walaupun jelas keletihan tetapi trio itu berjuang bagi setiap mata untuk merangkul hadiah wang tunai RM5, 000. – UTUSAN