KOTA BHARU: Batalion 7 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai jenis mercun dan bunga bernilai RM3.09 juta selepas menahan empat lelaki dalam serbuan di sebuah premis yang dijadikan sebagai stor di Kampung Pasir Tumboh di sini minggu lalu.
Serbuan pukul 12.10 tengah malam itu dilakukan menerusi Ops Taring Wawasan Kelantan bersama sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu.
Komander Briged Tenggara, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, kesemua suspek yang ditahan itu masing-masing berusia antara 20 hingga 24 tahun.
Katanya, pemeriksaan lanjut di lokasi membawa kepada penemuan 1,031 kotak mercun.
“Semasa ditahan kesemua mereka gagal mengemukan dokumen berkait dengan mercun yang disimpan itu.
“Siasatan awal mendapati bekalan mercun tersebut dipercayai diperoleh daripada sebuah syarikat pembekal di Melaka dan dibawa ke stor berkenaan secara berperingkat bulan lepas sempena sambutan Tahun Baharu Cina dan Hari Raya Aidilfitri,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Ahmad Radzi memberitahu, kesemua barangan rampasan dan suspek telah dirujuk kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu untuk siasatan lanjut.
Katanya, saringan awal air kencing ke atas semua suspek turut didapati negatif dadah.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1952, dan pihak polis akan terus mempergiatkan risikan serta pemantauan bagi mengekang aktiviti penjualan mercun tanpa lesen serta membongkar rangkaian pengedaran haram yang semakin terancang,” ujarnya.-UTUSAN






