am@hmetro.com.my
Georgetown: Polis Pulau Pinang berjaya membongkar tempat pembungkusan dadah serbuk Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) bernilai RM1.1 juta menerusi empat serbuan berasingan di sekitar Georgetown.
Susulan itu, empat individu warga tempatan berusia 30 hingga 33 tahun termasuk seorang wanita ditahan kerana disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah itu.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Azizee Ismail berkata, serbuan dilakukan antara jam 9 malam Isnin sehingga jam 9 pagi Selasa lalu membabitkan pasukan dari Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Pulau Pinang.
Katanya, pemeriksaan menemukan serbuk dadah MDMA seberat 7.13 kilogram (kg) yang diisi dalam enam peket plastik berwarna hitam serta masing-masing tiga beg plastik bertulis ‘Chagee’ dan tiga botol plastik berpenutup.
“Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran dadah itu bergiat aktif sejak awal tahun ini.
“Jumlah keseluruhan dadah yang dirampas boleh digunakan seramai 50,000 penagih dadah jika terlepas ke pasaran,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Mengulas lanjut Azizee berkata, hasil ujian saringan air kencing mendapati seorang daripada suspek positif dadah jenis Amphetamine.
“Manakala semakan mendapati tiga daripadanya mempunyai rekod lampau kesalahan membabitkan jenayah dan dadah.
“Kesemua mereka direman selama lima hari sehingga 27 Julai ini bagi membantu siasatan,” katanya.
Menurut Azizee, tindakan juga diambil mengikut Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988 yang mana tiga kereta, dua motosikal dan barang kemas termasuk ketulan emas turut disita.
“Keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan harta berjumlah lebih RM1.5 juta dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Sehubungan itu, Azizee berkata, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan penyalahgunaan dadah atau jenayah narkotik boleh salurkan kepada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Polis Diraja Malaysia (PDRM) di talian hotline 012-2087222.
© New Straits Times Press (M) Bhd






