Storm Hockey Academy idam gilap bakat beraksi sehingga Olimpik

Storm Hockey Academy idam gilap bakat beraksi sehingga Olimpik


saifulaffendy@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Daripada kosong hingga mampu beraksi di pentas Olimpik. Itulah impian Storm Hockey Academy dalam usaha melahirkan generasi baharu pemain hoki berkaliber negara.

Bagi akademi yang ditubuhkan sejak tiga tahun lalu itu, usaha melahirkan bintang pelapis negara tidak sekadar impian kosong dengan barisan 20 jurulatih berkelayakan yang memiliki lesen kelayakan daripada Persekutuan Hoki Antarabangsa (FIH) dan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC).

Antara tenaga kejurulatihan utama akademi ini adalah bekas pemain skuad Projek 2013, Zulhairi Hashim yang pernah mencipta sejarah apabila membantu pasukan negara menamatkan kempen di tempat keempat Piala Dunia Remaja 2013, iaitu pencapaian terbaik negara dalam kejohanan berprestij itu.

Menurut pengasasnya, Fathi Kamel Shahrom Jamil, Storm Hockey Academy membuka ruang kepada semua golongan belia untuk menyertai dunia hoki, tanpa mengira tahap kemahiran.

“Storm Hockey Academy membuka peluang kepada mereka yang ingin mendalami sukan hoki bermula daripada kosong sehinggalah pandai bermain hoki.

“Ia terbuka kepada pemain seawal berusia empat tahun sehingga 20 tahun dengan sesi latihan berlangsung sebanyak tiga kali seminggu dengan yuran serendah RM19 untuk satu sesi,” katanya.

Lebih membanggakan, tahun ini menyaksikan penyertaan sulung Storm Hockey Academy dalam saingan Liga Hoki Remaja Malaysia, membariskan pasukan lelaki dan wanita yang bersaing secara kompetitif buat kali pertama.

Tambah Fathi, pendekatan latihan yang digunakan juga bukan calang-calang apabila akademi ini menggunakan silibus dan kaedah latihan yang pernah diterapkan oleh jurulatih berpengalaman negara, Muhammad Dharma Raj Abdullah, individu yang turut memainkan peranan penting dalam membentuk skuad Projek 2013.

“Selain dibarisi jurulatih berkaliber, kami juga menggunakan silibus latihan yang digunakan oleh bekas jurulatih skuad Projek 2013, Muhammad Dharma Raj Abdullah,”” ujarnya lagi.

Mereka yang berminat menyertai boleh melayari Facebook Storm Hockey Academy.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top