STPM 2024: Ahnaf, Syi Ying bukti kekurangan diri bukan halangan untuk berjaya

STPM 2024: Ahnaf, Syi Ying bukti kekurangan diri bukan halangan untuk berjaya


am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: “Tiada yang mustahil jika kita berusaha dan yakin pada diri untuk berjaya.” 

Begitu semangat luar biasa dua pelajar berkeperluan khas yang membuktikan kekurangan diri bukan penghalang untuk cemerlang dalam peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2024.

Goh Shi Ying, 20, dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kapar Indah, Klang, Selangor dan Nik Muhamad Ahnaf Rujhiee Raja Anuar, 20, dari St John’s Institution, di sini, menjadi tumpuan apabila tersenarai sebagai penerima anugerah bagi kategori Calon Berkeperluan Pendidikan Khas.

Kedua-dua pelajar ini berjaya memperoleh Purata Nilai Gred Kumulatif (PNGK) cemerlang 4.00 sekali gus membuktikan semangat dan usaha gigih mampu mengatasi segala cabaran.

Nik Muhamad Ahnaf yang juga anak sulung daripada empat beradik berkata, dia mengalami masalah penglihatan sejak kecil banyak membuat latihan termasuk ulang kaji untuk mencapai kejayaan.

“Saya banyak buat latihan, ulang kaji dan tak malu bertanya guru kalau tak faham. Lama-kelamaan, saya berjaya kuasai semua topik.

“Cabaran terbesar adalah menyesuaikan diri di sekolah biasa yang turut menempatkan pelajar normal, namun berjaya mengatasinya selepas dua minggu dan semakin yakin berdikari,” katanya.

Nik Muhamad Ahnaf berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Anugerah Pelajar Terbaik Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di Dewan Besar Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Selayang, di sini, hari ini.

Bercita-cita menjadi pendidik, Ahnaf menyatakan hasrat untuk melanjutkan pelajaran di Institut Pendidikan Guru (IPG) demi merealisasikan impiannya.

“Saya mahu menjadi guru sebab guru adalah pencetus bangsa berilmu. Meskipun saya buta, saya percaya saya mampu,” katanya penuh tekad.

Sementara itu, Shi Ying yang juga anak sulung daripada tiga beradik berkata, dia pernah berdepan ujian hidup besar apabila disahkan menghidap kanser tulang ketika dia berusia 13 tahun. 

Akibatnya, katanya, sebahagian tulangnya terpaksa digantikan dengan besi, namun semangatnya tidak pernah luntur.

“Saya sentiasa buat nota sendiri, ulang kaji dan bantu ajar kawan-kawan. Itu yang bantu saya faham dan kukuhkan pelajaran,” katanya yang kini berhasrat menyambung pengajian dalam bidang perakaunan di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Mengakui pernah berasa murung, Shi Ying berkata, kekuatan sebenar datang daripada sikap positif dan sokongan ibu bapa yang tidak pernah berhenti menyuntik semangat dbuat dirinya.

“Saya pernah rasa ‘down’ untuk belajar, tetapi sokongan keluarga dan orang sekeliling bantu saya bangkit,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top