Yew Sin (kanan) dan Ee Yi akan menentang gandingan India dalam aksi suku akhir Terbuka China di Changzhou pada Jumaat. Foto Bernama
AKSI konsisten beregu lelaki profesional negara, Ong Yew Sin–Teo Ee Yi yang mara ke suku akhir Kejohanan Badminton Terbuka China mencetuskan persoalan dalam kalangan peminat mengenai rahsia kejayaan mereka, meskipun masing-masing telah melepasi usia 30 tahun.
Gandingan yang kini berada di ranking ke-28 dunia itu menumpaskan pasangan Thailand, Kittinupong Kedren–Dechapol Puavaranukroh secara straight set dalam saingan pusingan kedua kejohanan berstatus Super 1000 itu pada Khamis.
Mereka hanya memerlukan tempoh 30 minit untuk mengatasi lawan dengan keputusan 21-16, 21-16 dalam aksi yang berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Olimpik, Changzhou.
Di sebalik keputusan memberangsangkan tersebut, Teo Ee Yi, 32, mengakui bahawa mereka telah menemui corak permainan yang lebih sesuai dengan peningkatan usia melalui pendekatan yang lebih strategik dan berkesan.
“Kami mencuba perkara baharu kerana kami semakin berusia, jadi perlu ada strategi yang berbeza. Setakat ini, ia menunjukkan petanda positif,” katanya.
Kebangkitan mereka mula membuahkan hasil apabila berjaya mara ke separuh akhir Terbuka Jepun minggu lalu — pencapaian terbaik musim ini selepas hanya ke suku akhir Terbuka Malaysia pada Januari dan mengalami tujuh kekalahan berturut-turut di pusingan pertama dalam beberapa kejohanan sebelum ini.
Ong Yew Sin, 32, pula memaklumkan bahawa mereka telah lama mencuba pendekatan permainan baharu namun belum mendapat hasil yang memuaskan sehingga kini.
“Kami sudah lama cuba (gaya permainan), tetapi tidak begitu berjaya. Namun, baru-baru ini kami tambah sedikit lagi elemen baharu dan nampak hasilnya lebih baik berbanding kejohanan sebelum ini,” ujarnya.
Pasangan Malaysia itu akan berdepan cabaran getir dalam aksi suku akhir pada Jumaat menentang gandingan India, Satwiksairaj Rankireddy–Chirag Shetty.