Strategi ampuh perkasa pemain muda – Kok Keong

Strategi ampuh perkasa pemain muda – Kok Keong


PERSATUAN Badminton Malaysia (BAM) perlu mencongak strategi ampuh bagi memperkasa bakat muda untuk diketengahkan ke pentas tertinggi pada masa depan.

Legenda badminton negara, Datuk Foo Kok Keong juga melihat pendedahan kepada lebih banyak kejohanan kompetitif mampu mengilap bakat mereka untuk menjadi pelapis kepada generasi pemain ketika ini.

Justeru, beliau percaya Presiden baharu BAM, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mampu memacu badminton negara ke tahap terbaik.

“Harapnya, presiden baharu ini akan berusaha memajukan lagi sukan ini. Saya lihat badminton sekarang berada di tahap yang sangat baik dengan hadiah wang tunai yang lumayan.

“Namun kita perlu sedar bahawa banyak negara lain yang semakin maju. Oleh itu, kita perlu terus membangunkan lebih ramai pemain, terutama dengan adanya akademi dan lebih banyak kejohanan untuk golongan muda,” katanya.

Beliau ditemui Sinar Harian selepas melancarkan Kejohanan Badminton Amal SBE Serla yang disertai lebih 250 peserta di Stadium Juara, Bukit Kiara baru-baru ini.

Kok Keong bukan nama asing dalam arena badminton negara apabila menjadi salah seorang anggota skuad emas yang merangkul Piala Thomas 1992.

Beliau menjelaskan bahawa pembangunan badminton perlu bermula secara berfasa bermula dari sekolah ke peringkat negeri dan seterusnya ke tahap tertinggi.

“Paling penting, kejohanan tempatan perlu diperbanyakkan. Melalui kejohanan kita boleh melihat hasilnya dan mengenal pasti siapa pemain yang benar-benar terbaik.

“Apabila ada kejohanan, kelompok pemain muda akan sedar bahawa saingan itu wujud dan bukan hanya mereka seorang sahaja yang handal,” katanya.

Menyentuh peluang Malaysia untuk menamatkan kemarau 34 tahun memenangi Piala Thomas 2026, beliau menyifatkan saingan dari negara lain sangat hebat.

“Piala Thomas bukan sesuatu yang mudah untuk dimenangi dan banyak negara lain yang semakin meningkat. Saya lihat, prestasi beregu kita tahun ini sangat kuat tetapi perseorangan masih belum begitu baik.

“Harapnya akan ada lebih ramai pemain perseorangan yang bakal muncul. Pada zaman saya, pemain lelaki sangat kuat, tetapi bilangannya terhad. Apapun, mereka perlu bekerja keras,” katanya.

Piala Thomas 2026 dijadual berlangsung di Horsens, Denmark.



Source link

OR

Scroll to Top