Strategi Astro Shaw

Strategi Astro Shaw



mohamadridzuan@hmetro.com.my

PEMAIN industri utama perfileman tempatan Astro Shaw memperkenalkan Astro Shaw Cinematic Universe bertujuan meningkatkan landskap sinema Malaysia agar dapat bersaing dan berdiri setanding industri serantau dan antarabangsa.

Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, Astro Shaw meneliti usaha dan menyusun pelbagai strategi untuk sama-sama memastikan agar industri ini terus relevan dan sentiasa bergerak maju ke hadapan.

Menerusi usaha itu, Astro Shaw mempelawa pemain industri (penerbit) lain menjalinkan kerjasama dengan mereka.

“Kami percaya matlamat ini tidak akan membuahkan hasil tanpa kerjasama ramai pihak. Salah satu inisiatif untuk merealisasikan visi ini ialah dengan memperkenalkan Astro Shaw Cinematic Universe.

“Langkah strategik ini mencerminkan visi berpandangan jauh Astro Shaw dalam membuka pintu untuk menjalin kerjasama baharu bersama studio produksi, tenaga kreatif, bakat anak seni, agensi serta sektor industri berbeza dalam memperluaskan capaian penonton melalui karya sinematik yang berinovasi.

“Astro Shaw Cinematic Universe adalah projek yang menghimpunkan IP blockbuster filem terbitan Astro Shaw dan bakal dikembangkan menerusi filem dan siri premium terbaru,” katanya.

Menurutnya, antara filem yang bakal menemui penonton mulai tahun 2025 dan seterusnya ialah Polis Evo 4, REZA dan siri premium Evo Academy menerusi francais Polis Evo; filem francais Keluang Man seperti Keluang Man, Baling, Patani Keluang Man 2, Besut dan Kataha.

“High Council Universe pula bakal diteruskan menerusi siri premium berjudul Kudrat 1968. Terdapat beberapa lagi IP terbitan Astro Shaw yang bakal dikembangkan di bawah Cinematic Universe ini dan pastinya memberi keterujaan kepada peminat industri hiburan tempatan.

“Seterusnya, hasil daripada kerjasama ini akan menyaksikan satu gabungan filem pada 2028. Universe yang mempersembahkan nuansa Malaysia ini menggabungkan pelbagai genre dan cerita.

“Inisiatif ini adalah yang pertama seumpamanya, mencipta sejarah baru untuk sinema Malaysia. Berbeza dengan universe superhero yang lain, ia tidak akan bergantung kepada sekumpulan superhero saja.

“Sebaliknya, ia bakal meneroka naratif yang saling berkait dengan cara yang tidak dijangka. Pendekatan kolaboratif ini menjanjikan penyampaian jalan cerita yang baru,” katanya.

Raja Jastina berkata, sejak Astro Shaw ditubuhkan pada 1996, mereka yakin ramai yang sudah membesar dengan filem-filem keluaran mereka, di samping menyaksikan transformasi besar kualiti filem yang diterbitkan

“Walaupun ada filem tempatan berjaya dengan kutipan box office, namun secara keseluruhan industri filem Malaysia masih bergelut. Pembikin filem kini berdepan persaingan yang sengit, termasuk daripada kandungan media sosial dan platform OTT yang sudah mengubah cara penonton berinteraksi dengan kandungan.

“Meskipun kutipan kasar box office (GBO) adalah penting, tetapi sebagai penerbit kita perlu meneroka sumber baharu seperti cendera hati, intergrasi jenama dan tembusi platform yang lebih meluas.

“Kami berhasrat untuk menyokong industri filem Malaysia dengan mencipta peluang buat pembikin filem, serta menyumbang kepada ekosistem sinema Malaysia. Kami meneliti usaha dan menyusun pelbagai strategi untuk membawa industri ini ke tahap yang lebih tinggi.

“Dengan memperkenalkan Astro Shaw Cinematic Universe, kami ingin mengalu-alukan kerjasama bersama studio produksi, tenaga kreatif serta bakat-bakat anak seni, termasuk sinergi di antara pelbagai industri,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd



Source link

OR

Scroll to Top